KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menyiasat sebarang aduan berkenaan tindakan mana-mana pihak yang didakwa mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata tindakan sewajarnya akan diambil mengikut undang-undang yang diperuntukkan di bawah kementerian itu sekiranya pihak terbabit didapati bersalah.
“Kita belum menerima apa-apa aduan tetapi kalau setakat ini, sekiranya ada yang mengadu kepada kami, kami akan ambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang bersesuaian di bawah kementerian.
“Apa-apa yang di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di bawah akta yang bersesuaian, insya-Allah kita akan melihat satu kes ke satu kes, tidak kira kes berkaitan apa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes tular menerusi laman sosial baru-baru ini berkenaan gerakan sebuah syarikat dalam negara yang menggunakan rumah kebajikan anak-anak yatim untuk menempatkan anak-anak ahli mereka.
Sementara itu, Noraini berkata KPWKM akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menjadikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) sebagai ahli Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak.
Beliau berkata untuk tahun ini juga, seramai 383 pegawai pelindung dan pegawai akhlak lantikan tetap serta 280 lagi lantikan kontrak telah ditempatkan semua pejabat kebajikan di seluruh negara termasuk 43 pegawai pelindung dan pegawai akhlak diletakkan di Perak.
“Saya menyeru bagi pihak kementerian agar komuniti dan kanak-kanak sendiri boleh menjadi mata serta telinga kepada pihak kerajaan. Kita pun boleh membantu memupuk satu sikap ambil peduli dalam kita membantu melaporkan nasib golongan yang memerlukan kepada KPWKM,” katanya.
Noraini berkata setakat bulan lepas, sebanyak 98 sekolah dengan sejumlah 33,250 peserta telah terlibat dengan program advokasi perlindungan kanak-kanak. – BERNAMA