Berita

“Adakah bantuan lesen RM500 kepada peniaga dianggap Gagal?” – Dr Zaliha

- Diterbit 13 Mac 2025 8:40 PM MYT

DAKWAAN bahawa pihak berkuasa gagal menguruskan Bazar Ramadan tahun ini adalah tidak tepat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Menurutnya, pelbagai inisiatif telah diambil bagi memastikan peniaga dapat beroperasi dalam keadaan yang lebih baik, termasuk memperkenalkan bayaran lesen yang lebih rendah.

“Jika kita memberi bantuan lesen (Bazaar Ramadan) RM500 kepada peniaga untuk berniaga, adakah itu dianggap gagal? Jika kita membantu mengurangkan caj perniagaan yang sebelum ini terlalu tinggi, adakah itu satu kegagalan?” katanya dalam satu sidang media selepas sesi Walkabout di Bazaar Ramadan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan) Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Ismadi Sakirin.

Beliau menegaskan, pendekatan baharu yang diperkenalkan mendapat maklum balas positif daripada kebanyakan peniaga, sekali gus menepis dakwaan bahawa pengurusan bazar tahun ini lemah.

Mengulas mengenai kejadian ribut yang menyebabkan kerosakan khemah di bazar Ramadan, Zaliha memaklumkan bahawa pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan menggantikan khemah baharu kepada peniaga.

“Kejadian berlaku sebelum waktu Maghrib akibat hujan lebat dan angin kencang yang saya difahamkan mencecah sehingga 70 kilometer sejam.

“Susulan itu, kami segera mengedarkan khemah baharu supaya peniaga dapat meneruskan operasi seperti biasa pada waktu malam dan keesokan harinya,” katanya.

Beliau juga mengakui terdapat aduan mengenai kualiti khemah yang digunakan dan pihaknya akan meneliti langkah penambahbaikan pada masa akan datang.

“Peniaga digalakkan menggunakan pemberat bagi menstabilkan khemah mereka, sementara sesetengah khemah telah dibina dengan struktur pangkin yang lebih kukuh.

“Kami juga akan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia bagi mendapatkan ramalan cuaca lebih awal dan menyalurkan maklumat kepada peniaga supaya mereka dapat bersiap sedia,” katanya.

Zaliha turut menjelaskan bahawa perubahan dalam susunan bazar bukanlah disebabkan insiden ribut, tetapi bertujuan untuk memastikan aliran pengunjung yang lebih lancar serta memberi manfaat kepada peniaga berhampiran kedai tetap.

“Langkah ini dilakukan supaya susunan khemah lebih teratur dan mengelakkan struktur tambahan yang boleh mengganggu peniaga lain,” katanya.

Tambahnya, buat masa ini, khemah yang digunakan masih kekal seperti yang ditetapkan, dan pihaknya juga bekerjasama dengan Bank Muamalat bagi mencari pendekatan yang lebih baik untuk masa depan.

Menjawab kekeliruan mengenai kadar caj yang dikenakan ke atas peniaga, Zaliha menjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.

“Untuk bazar Ramadan yang menjual makanan dan minuman, bayaran hanya RM500. Manakala bagi bazar Aidilfitri yang melibatkan penjualan pakaian dan barangan lain, caj yang dikenakan ialah RM2,700,” katanya.

Namun, katanya, jumlah sebenar yang perlu dibayar oleh peniaga bagi bazar Aidilfitri hanyalah RM700 kerana RM2,000 adalah wang cagaran yang akan dikembalikan.

“Saya berharap fakta sebenar dapat disebarkan dan tidak dipengaruhi oleh sentimen semata-mata. Peniaga sendiri lebih memahami perkara ini, jadi kita harus mengelakkan fitnah, terutama dalam bulan Ramadan ini,” katanya.

Sementara itu, Zaliha turut mengulas dakwaan bahawa peniaga perlu membayar RM450 kepada persatuan peniaga bagi caj elektrik.

Menurutnya, caj tersebut merupakan satu langkah penambahbaikan bagi memastikan bekalan elektrik lebih tersusun dan selamat.

“Sebelum ini, peniaga mengambil elektrik dari kedai berhampiran atau menggunakan generator yang berisiko tinggi. Kini, sistem yang lebih teratur telah diperkenalkan dan peniaga hanya perlu membayar RM15 sehari, bersamaan RM450 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan peniaga memahami keperluan caj tersebut demi menjamin keselamatan dan kelancaran operasi mereka sepanjang bulan Ramadan.

“Kami berharap semua pihak dapat bekerjasama dan mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat. Apa yang penting, peniaga dapat menjalankan perniagaan mereka dalam keadaan yang lebih baik dan selamat,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas