Berita

Ada pasangan ‘rasa menyusahkan’ faktor ibu bapa terabai

- Diterbit 20 September 2024 11:38 AM MYT

FAKTOR pasangan yang tidak dapat menerima kehadiran mentua dalam kehidupan kerana rasa menyusahkan selain anak-anak hidup sendiri, susah dan jauh dengan ibu bapa membuatkan golongan itu hidup terabai.

Demikian jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar kepada Wilayahku merujuk kepada kes-kes pengabaian ibu bapa sehingga ada yang tidak dijenguk anak-anak bertahun lamanya.

Namun di sudut lain katanya, demi untuk tidak mengganggu dan menyusahkan anak-anak, terdapat ibu bapa yang bersikap pasif, tidak meminta bantuan atau tidak memaklumkan kepada anak-anak akan kekangan yang dialami, sama ada kehidupan yang susah, tidak mempunyai kewangan, kesakitan dan sebagainya.

“Pengabaian ibu bapa oleh anak-anak merupakan salah satu fenomena yang amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja menyalahi nilai-nilai murni masyarakat kita, tetapi juga bertentangan dengan ajaran agama dan budaya kita yang menekankan kepentingan menjaga kebajikan ibu bapa.

“Setiap anak mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk memastikan kesejahteraan orang tua mereka, terutamanya di usia senja.

“Pengabaian ini boleh membawa kepada kesan psikologi yang mendalam, seperti kesepian dan tekanan emosi dalam kalangan warga emas,” katanya.

Beliau memberitahu, memang tidak dapat dinafikan, kesibukan anak-anak dalam mencari rezeki dan melayari kehidupan keluarga yang telah dibina membuatkan banyak perkara terlepas pandang, apatah lagi bagi keluarga yang tidak akrab sesama adik-beradik dan mengamalkan kehidupan masing-masing.

“Jika dilihat corak yang diamalkan oleh keluarga, biasanya pelbagai. Corak keluarga (family pattern) akan membentuk bagaimana sesebuah keluarga itu berfungsi.

“Jika bagus corak didikan ibu bapa dalam membentuk keluarga, maka akan bagus juga pembentukannya. Begitu juga sebaliknya,” katanya.

Justeru menurut beliau, kedua-dua pihak haruslah memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing.

“Walaupun kita sebagai anak-anak tidak dapat pulang melihat ibu bapa namun biarlah suara kita yang sampai. Teknologi terkini dapat dimanfaatkan bagi menjaga kebajikan kedua ibu bapa apatah lagi bagi ibu atau bapa yang tinggal keseorangan.

“Bagi yang mengalami konflik antara keduanya, perbaikilah dan berdamailah dengan harmoni. Tidak rugi orang yang meminta maaf dan memaafkan apatah lagi sesama adik beradik dan anak beranak.

“Ego adalah awal kepada kemusnahan. Maka uruskan ego dengan sebaiknya, jangan ia merosakkan kehidupan kita apatah lagi dalam hubungan sesama darah daging sendiri,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas