KEMENTERIAN Ekonomi memaklumkan kira-kira 25 hingga 30 peratus golongan miskin tegar menolak tawaran menyertai program basmi kemiskinan anjuran kerajaan
Menterinya, Rafizi Ramli berkata golongan berkenaan lebih berminat hanya menerima bantuan tunai termasuk melalui sistem e-Kasih dan kurang berminat terhadap program menjana pendapatan.
“Sudah tentu senarai dalam e-Kasih yang ada daripada tahun 2007, akan ada yang tidak mahu keluar.
“Begitu juga pendekatan sebelum ini…apabila kita memprofilkan seberapa banyak keluarga dalam e-Kasih yang dikira miskin tegar ini, untuk dipadankan dengan program pembasmian kemiskinan…secara puratanya 25 ke 30 peratus menolak untuk terlibat dalam apa-apa program,”.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN – Rantau Panjang) berhubung pemutihan senarai penerima di dalam sistem e-Kasih di Dewan Rakyat pada Khamis.
Jelasnya, itu antara cabaran kementeriannya terutama dalam melaksanakan pemutihan dalam sistem tersebut.
“Ini kerana bagi mereka, bagi saja bantuan tunai…yang melibatkan menjana pendapatan ini, mereka tidak berminat,” katanya. – WILAYAHKU