ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani polemik membabitkan tapak pembinaan Masjid Madani serta Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Menurut Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, diharapkan tiada lagi kenyataan serta komentar berkaitan dengan isu tersebut dikeluarkan oleh mana-mana tokoh atau pihak.
“Dan jika ada, ia perlu diambil tindakan segera oleh pihak berkuasa serta kementerian berkaitan. ABIM berpandangan bahawa pembinaan mana-mana rumah ibadat perlu mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Agama tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar undang-undang. Mana-mana pihak yang melanggar peraturan, termasuk atas nama agama, perlu dikenakan tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang negara,” ujar beliau.
Ahmad Fahmi berkata, sikap tegas yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri merupakan formula paling berkesan dalam menangani isu yang telah dibiarkan berlarutan sehingga menjadi kronik.
“Ketegasan ini mencerminkan kepimpinan yang bukan sahaja berani dan berprinsip, tetapi juga berhikmah serta mempunyai integriti tinggi.
“ABIM juga menyeru agar penguatkuasaan undang-undang dari segi prosedur pembinaan rumah-rumah ibadat diperkasakan. Pembinaan rumah ibadat perlu diselia melalui undang-undang, bukan hanya bergantung kepada garis panduan.
“Pembinaan rumah ibadat secara haram mesti dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang yang berat atau tegas,” ujarnya.
Tambahnya langkah tersebut merupakan satu bentuk tindakan yang tepat serta amat diperlukan untuk membina kerangka Malaysia MADANI sebagai sebuah negara yang menjunjung undang-undang, meraikan kepelbagaian, dan memastikan keadilan ditegakkan tanpa kompromi.
“ABIM percaya pendekatan ini mampu meletakkan Malaysia sebagai model kepimpinan Islam yang progresif berlatarkan masyarakat majmuk,” ujarnya. – WILAYAHKU