Berita

ABIM gesa hentikan manipulasi isu perkauman

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
- Diterbit 20 Februari 2025 3:00 PM MYT

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa semua pihak agar menghentikan sebarang bentuk manipulasi isu perkauman yang banyak dilaporkan kebelakangan ini termasuk menerusi hantaran dan komen berbau hasutan dalam sosial media.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, ABIM menyambut baik penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa platform Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) dapat diperkasakan dalam membina masyarakat yang bersatu padu dalam kepelbagaian, selari dengan prinsip MADANI yang berlandaskan perpaduan, saling menghormati serta menjamin keadilan sosial.

“Peranan HARMONI yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Perpaduan Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh keharmonian antara penganut agama.

“Jawatankuasa ini bukan bertujuan untuk menyamakan semua agama yang menggugat mana-mana pihak. Keharmonian yang ingin diwujudkan adalah keharmonian antara penganut pelbagai agama dan bukannya keharmonian antara agama-agama itu sendiri,” tegas beliau.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

Tambah beliau, sebarang persepsi bahawa jawatankuasa tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berasas kerana ia tidak mengubah ketetapan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Bahkan jawatankuasa HARMONI membantu mengukuhkan kedudukannya, selaras dengan Perkara 3 yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan, sambil menjamin hak penganut agama lain untuk mengamalkannya secara aman dan harmoni.

“Jenama HARMONI telah sedia ada berperanan sejak 2020 bahkan bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia pernah dilaksanakan menerusi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang memainkan peranan sejak 2010-2019 . Pelbagai inisiatif perpaduan dan interfaith telah dijalankan untuk memupuk keharmonian nasional tanpa menjejaskan kedudukan Islam dalam negara,” ujar beliau.

Justeru, ABIM menyeru semua pihak agar lebih berhati-hati untuk lebih terbuka dalam menerima kepelbagaian dan mencari titik persamaan yang boleh memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam negara.

“Ini kerana sebarang kata-kata serta tindakan untuk mencipta persepsi negatif tidak boleh dihapuskan natijahnya dengan permohonan maaf di kemudian hari,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas