Berita

Aaron-Wooi Yik terus pamer aksi cemerlang di Olimpik

- Diterbit 1 Ogos 2024 8:35 PM MYT

BEREGU lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus mempamerkan aksi cemerlang untuk melayakkan diri ke separuh akhir Sukan Olimpik 2024 selepas berjaya menundukkan pasangan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty sebentar tadi.

Berdepan lawan yang menghuni ranking ketiga dunia itu dilihat memberikan kesukaran buat Aaron-Wooi Yik pada set pertama apabila tumpas 13-21.

Bagaikan mendapat tonik berguna diberikan Rexy Mainaky dan Tan Bin Sheng pada waktu rehat, Aaron-Wooi Yik mempamerkan aksi lebih kemas pada set kedua.

Mereka bangkit daripada ketinggalan empat mata pada peringkat awal dan tampil lebih agresif untuk menang 21-14 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Tiba di set penentuan, perlawanan semakin sengit dengan kedua-dua pasangan saling berkejar mata.

Meskipun ketinggalan, namun pasangan negara berjaya bangkit dan menang di set terakhir 21-16, sekali gus mara ke separuh akhir.

Kemenangan itu bukan sahaja membawa beregu nombor satu Malaysia itu ke separuh akhir tetapi ia turut menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut mereka kepada lawan dari India itu di pentas antarabangsa.

Menanti mereka di separuh akhir esok ialah pasangan ranking nombor satu dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas