Berita

Aaron-Wooi Yik lakar sejarah tersendiri di Olimpik Paris

AKSI Aaron-Wooi Yik ketika menentang pasangan Great Britain, Ben Lane-Sean Vendy. Foto: ISKANDAR KAMARUZAN/BERNAMA
- Diterbit 27 Julai 2024 8:16 PM MYT

BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan detik cemas sebelum mencatat kemenangan pertama di Sukan Olimpik Paris 2024, sebentar tadi.

Aaron-Wooi Yik terpaksa bermandi peluh untuk menumbangkan gandingan Great Britain, Ben Lane-Sean Vendy selepas dikejutkan dengan kekalahan di set pertama dalam aksi Kumpulan A di Porte de La Chapelle Arena.

Tersentak dengan keputusan tersebut, bekas juara dunia itu mula mengatur perlawanan yang lebih sempurna sebelum berjaya bangkit mengatasi lawannya menerusi keputusan 21-16 sekali gus mengheret ke rubber set sebelum menang 21-11.

Kemenangan itu cukup penting buat Aaron-Wooi Yik dalam misi mereka untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan dua teratas sekali gus mara ke peringkat suku akhir.

Pasangan nombor lima dunia itu akan berdepan gandingan Kanada, Nyl Yakura-Adam Dong untuk aksi kedua kumpulan esok.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mempamerkan semangat melawan yang tinggi sebelum tunduk di tangan pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.

Pearly-Thinaah terpaksa akur apabila tewas 17-21, 20-22 dalam aksi pertama Kumpulan A itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas