AKTOR Singapura, Datuk Aaron Aziz tidak berfikir panjang ketika menerima tawaran membintangi drama arahan Datuk Afdlin Shauki, mengenai ‘scammer’ berjudul Din Tiger.
Menurut Aaron, dia terus bersetuju kerana menyifatkan Din Tiger sebuah naskah menarik serta belum pernah drama berkaitan ‘scammer’ dihasilkan sebelum ini.
“Saya tidak suka ‘scammer’, walaupun tiada pengalaman di ‘scam’ tapi cerita seperti ini perlu diangkat kerana benda itu memang berlaku dan ramai yang terkena.
“Salah seorangnya pembantu rumah saya yang ditipu RM4,000 kerana menekan pautan yang dihantar ke telefon bimbitnya.
“Setelah berjumpa dengan Afdlin dan dia ceritakan mengenai drama ini, saya terus bersetuju,”katanya yang ditemui di Majlis Sidang Media Din Tiger, di Hyatt Place, Bukit Jalil baru-baru ini.
Aaron berkata, wataknya sebagai Din Tiger berbeza daripada karakter-karakter yang pernah dibawakan sebelum ini.
Katanya, walaupun ada sedikit babak aksi tetapi Din Tiger bukanlah seorang yang suka kepada kekerasan.
“Apa yang menariknya, drama ini tidak seperti apa yang saya jangkakan.
“Selalunya saya terbabit dengan cerita aksi tapi untuk drama ini, Din Tiger percaya untuk menang bukan melalui tangan,” katanya.
Din Tiger menemui penonton bermula 6 Januari, setiap Isnin, jam 11 malam melalui saluran Degup HD, Unifi TV.
Drama bersiri itu turut dibintangi Afdlin, Mia Sara Shauki, Datin Seri Nina Juren, Josiah Hogan, Ako Mustapha, Tony Eusoff, Adam Corrie Lee dan ramai lagi.
Din Tiger mengisahkan Din Tiger, seorang bekas ‘scammer’ yang berazam meninggalkan dunia jenayah demi kehidupan baharu bersama isteri dan anaknya.
Namun, percubaannya untuk menjalani kehidupan biasa sebagai pemilik kedai gajet terganggu apabila dia terjerat dalam sebuah kes berat dan berdepan ancaman daripada Boss Mario atau Tan Sri Aliff, yang tidak membenarkan Din pergi begitu sahaja. – WILAYAHKU
[Iklan]