AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) akan membuka satu sesi lawatan khas untuk keluarga atau penjaga Klien AADK bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025/1446H.
AADK dalam kenyataannya berkata sesi lawatan ini adalah untuk keluarga atau penjaga Klien AADK yang sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di semua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara.
“Sesi lawatan keluarga ini akan bermula pada 7 sehingga 11 April 2025 bagi negeri Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak.
“Manakala bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah bermula 6 hingga 10 April 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, lawatan ini bertujuan merapatkan hubungan antara klien dengan keluarga atau penjaga, mendapatkan sokongan moral dan emosi serta keluarga atau penjaga boleh melihat sendiri perkembangan kepulihan klien yang mengikuti program RPDI AADK.
“Lawatan Khas Keluarga ini juga memberi ruang dan peluang antara keluarga atau penjaga dengan klien untuk bertemu mesra serta sebagai pendekatan terapeutik dalam menyokong kepulihan klien.
“Sehubungan itu, AADK meminta semua keluarga atau penjaga yang ingin menyertai sesi Lawatan Khas Keluarga ini untuk menghubungi Pegawai Pemulihan di PUSPEN masing-masing menerusi panggilan telefon; mesej pesanan ringkas (SMS), pesanan aplikasi WhatsApp; surat atau e-mel kepada pegawai berkenaan,” katanya.
Tambahnya orang ramai juga boleh menghubungi PUSPEN berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan sesi Lawatan Khas Keluarga ini atau menghubungi Talian Hotline AADK di talian 1-800-22-AADK (2235) atau 019-626 2233 (WhatsApp) bagi mendapatkan khidmat nasihat atau aduan berkaitan permasalahan dadah. – WILAYAHKU