Berita

Mustakim Mohamad dilantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu Tabung Haji berkuat kuasa 6 Mei, ganti Syed Hamadah

- Diterbit 29 April 2025 6:30 PM MYT

MUSTAKIM Mohamad diumumkan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu, berkuat kuasa mulai 6 Mei 2025.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan media hari ini, sekali gus menandakan tamatnya tempoh perkhidmatan Datuk Syed Hamadah Syed Othman yang telah menerajui institusi itu selama dua tahun sejak Mei 2023.

Pelantikan Mustakim, menurut kenyataan itu, adalah sejajar dengan hasrat TH untuk terus memperkukuh kecemerlangan dalam pengurusan dana umat Islam, terutama dalam suasana pasaran global yang mencabar serta peningkatan kos perkhidmatan berkaitan ibadah haji seperti penerbangan, penginapan dan rawatan kesihatan.

“Pertimbangan melantik kepimpinan yang berwibawa adalah amat penting memandangkan kedudukan TH sebagai pemegang amanah yang menguruskan dana umat Islam dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Mustakim yang telah berkhidmat hampir dua dekad di TH, membawa pengalaman luas merangkumi bidang kewangan, pelaburan, perkhidmatan deposit dan operasi, serta teknologi maklumat dan keselamatan. Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan.

Berkelulusan Ijazah Sarjana dalam jurusan kewangan dari Universiti RMIT, Australia, beliau juga merupakan Felo Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

“Dengan pelantikan ini, kepimpinan baharu TH akan menekankan pendekatan proaktif dan inovatif dalam merangka strategi mampan jangka panjang, selaras dengan peranannya sebagai institusi Islam unggul negara,” tambah kenyataan itu.

Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Syed Hamadah atas khidmat cemerlang beliau sepanjang menerajui TH selama dua tahun.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas