MALAYSIA dipilih sebagai tuan rumah Sekretariat Forum Ahli Parlimen Asia Mengenai Populasi dan Pembangunan (AFPPD), pada Perhimpunan Agung ke-15 AFPPD yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.
Menteri Kerja Raya yang juga Pengerusi AFPPD Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, telah mendapat sokongan sebulat suara daripada semua negara anggota.
Pemilihan itu mencerminkan komitmen kukuh Malaysia dalam mempromosikan pembangunan mampan, kesaksamaan gender, hak kesihatan, dan kebajikan rakyat di seluruh Asia dan Pasifik.
Nanta Linggi, berkata Malaysia amat berbesar hati dengan kepercayaan diberikan rakan-rakan serantau itu.
“Pemilihan itu mencerminkan peranan proaktif Malaysia dalam memperjuangkan isu-isu penting seperti pemerkasaan belia, kesaksamaan gender, penuaan penduduk, dan kesihatan reproduktif.
“Kami komited untuk memastikan sekretariat ini berfungsi sebagai platform dinamik dan inklusif bagi memupuk dialog, kerjasama, dan tindakan berimpak di seluruh rantau ini,” katanya.
Sekretariat AFPPD yang akan berpindah dari Jepun ke Kuala Lumpur berperanan sebagai pusat utama untuk menyokong ahli parlimen di rantau ini berkaitan cabaran populasi dan pembangunan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Pelbagai program akan diselarasakn antaranya inisiatif penyelidikan, dan usaha pembangunan kapasiti bagi memperkasa penggubal undang-undang dengan pengetahuan, sumber, dan alat dasar yang diperlukan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee dipilih sebagai Setiausaha Agong AFPPD, manakala Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, telah dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap bagi Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita untuk tempoh empat tahun.
Pelantikan itu memperkukuh peranan Malaysia dalam memimpin agenda kesaksamaan gender di peringkat serantau.
AFPPD, yang ditubuhkan pada 1981 disertai 30 Jawatankuasa Kebangsaan yang melibatkan ahli parlimen dari rantau Asia-Pasifik dan Asia Tengah.
Organisasi ini berfungsi sebagai forum untuk mengemenyelaras dasar dengan matlamat mewujudkan masa depan yang lebih baik bagi semua manusia di rantau ini, terutamanya golongan rentan termasuk wanita, kanak-kanak, belia, dan warga emas.
“Malaysia berharap untuk bekerjasama rapat dengan semua negara anggota AFPPD bagi memajukan matlamat bersama yang digariskan dalam Program Tindakan Persidangan Antarabangsa mengenai Populasi dan Pembangunan (ICPD) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs),” katanya- WILAYAHKU