Berita

Gandingan padu… An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah

- Diterbit 28 April 2025 9:15 PM MYT

BUAT julung kalinya, para peminat bakal ‘digegarkan’ dengan tiga penghibur wanita handalan, Datin Alyah, Ayu Damit dan Idayu Yaakob dalam sebuah showcase eksklusif yang akan berlangsung di Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya pada 21 dan 22 Jun ini.

Showcase yang bertemakan An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah itu bukan sahaja menyaksikan mereka menyampaikan lagu hits secara solo malahan bersatu vokal secara harmoni untuk dua malam berturut-turut.

Menurut Pengarah Kreatif & Perhubungan Media showcase, Slen Fadzil, idea kolaborasi tiga suara dari Johor, Kelantan dan Sabah itu tercetus daripada Datin Alyah sendiri yang inginkan sebuah gandingan padu dalam kalangan sahabat baik beliau.

“Sebagaimana yang kita ketahui, Datin Alyah, Ayu Damit dan Idayu Yaakob masing-masing dicungkil bakat mereka daripada tiga pertandingan nyanyian popular iaitu Bintang HMI, One In A Million  dan Akademi Fantasia Megastar.

“Masing-masing ternyata miliki kehebatan vokal tersendiri dan secara kebetulan, mereka menggemari genre-genre lagu yang sama khususnya balada dan pop komersial.

“Jadi memang sesuailah mereka digabungkan untuk memberikan kepuasan berganda kepada penonton kelak.

“Pada kedua-kedua malam itu kita akan dihiburkan dengan lagu-lagu hits mereka sendiri selain melodi evergreen hingga terkini daripada artis tempatan dan antarabangsa,” katanya.

AN Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah itu bukan sahaja menyaksikan mereka bersatu vokal secara harmoni untuk dua malam berturut-turut.
ALYAH, Ayu Damit dan Idayu

Dalam masa yang sama, Slen juga menzahirkan penghargaan buat lokasi showcase Park Inn by Radisson Putrajaya yang memberikan kerjasama yang baik.

“Kami amat terharu dan berbangga kerana showcase ini mendapat kerjasama terbaik daripada Park Inn by Radisson Putrajaya. Ia menjamin keselesaan dari segi tontonan dan lebih menarik, penonton akan disajikan hidangan koktel sebelum persembahan bermula.

“Bukan itu sahaja, peminat yang datang dari luar Lembah Klang juga boleh menginap dengan selesa di hotel ini dengan pakej-pakej berbaloi,” ujarnya.

Sementara itu, Ayu Damit akui bersyukur dan menganggap showcase ini satu peluang berharga buat dirinya.

“Bakal bergandingan sepentas bersama Datin Alyah dan Idayu sudah tentu merupakan satu pengalaman yang sungguh berharga dan tidak dapat dilupakan. Kedua-dua penyanyi ini bukan sahaja memiliki vokal yang luar biasa, malah mereka sangat profesional dan mesra di belakang tabir.

“Keharmonian vokal antara kami terasa sangat serasi, di mana masing-masing saling melengkapi dalam membawakan lagu-lagu yang penuh emosi dan bertenaga.

“Datin Alyah membawa aura elegan dengan kekuatan suaranya, manakala Idayu menyerlah dengan teknik vokal dan persembahan yang penuh penghayatan.

“Pengalaman ini akan meningkatkan keyakinan diri saya dalam persembahan pentas dan memperkaya lagi perjalanan seni saya. Doakan kami ya!” Katanya.

Showcase bertemakan Pesona Elegan itu dianjurkan oleh Like Music Entertainment dengan kerjasama Park Inn by Radisson Putrajaya.

Turut hadir, Pengurus Besar Park Inn by Radisson Putrajaya, Yusli Yunus serta Pengarah Projek Showcase, Izza Safinaz Ibrahim serta rakan penaja.

Tiket showcase ‘An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah’ berharga RM350 (termasuk Meet & Greet, Cenderahati & Hidangan Koktel) serta RM250 (termasuk Hidangan Koktel).

Dapatkan segera tiket-tiket showcase dengan menghubungi di talian Whatsapp 6010-211 4687. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas