Berita

Penguasaan Al-Quran angkat maruah umat Islam – Anwar

- Diterbit 28 April 2025 9:27 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa mereka yang mempunyai kemampuan dan para asatizah untuk bersama memupuk kesedaran baharu dalam kalangan umat.

“Kita perlu mempertingkat penguasaan
Al-Quran sebagai asas mengangkat maruah umat dan terus menggali hikmah untuk menjawab persoalan serta cabaran zaman pasca normal, di mana kebenaran dan hak dianggap relatif.

“Kita harus mencabar minda umat melalui taffaquh fiddin yang segar bagi menghadapi kondisi ‘malaise’ yakni keletihan jiwa yang menuntut jawapan berasaskan kekuatan ilmu dan keutuhan nilai,” ujar beliau dalam hantaran di Facebook usai perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTQHK) Tahun 1446H/2025M di Perlis.

Katanya, tantangan yang dihadapi adalah sejauh mana umat mampu membina kekuatan berasaskan ‘Din’ (agama) kepada Madinah (kota) dan seterusnya tamadun dalam membangun negara MADANI.

“Saya turut singgung pengalaman pendakwah di Alam Melayu sebagaimana direkodkan dalam Babad Tanah Jawi mengenai peranan unik Wali Songo serta catatan Ibnu Battutah di Perlak yang menzahirkan kepentingan pendekatan dakwah penuh hikmah dalam menyampaikan esensi Islam secara tasamuh agar umat tidak berpecah dan bermusuh.

“Umat meletakkan pengharapan yang tinggi untuk kita melakukan pembaharuan dalam berdepan cabaran semasa yang semakin rumit dan rencam sama ada di dalam atau luar negara,” ujar Anwar.

Tegas beliau, setiap daripada kita perlu membina kekuatan dalaman, bukan sekadar kekuatan akidah dan akhlak, bahkan daya tahan dalam pengurusan ekonomi dan tatakelola kerajaan di semua bidang.

” Insya-Allah, kita akan terus berusaha dan berikhtiar memperkukuh taffaquh fiddin dan penguasaan pelbagai bidang agar hasrat membangun umat dan negara dapat dicapai di atas landasan prinsip luhur dan akhlak yang benar,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas