Berita

4 buah premis pelacuran ditutup

HAD Parkir Dua Jam Akan Dikuatkuasakan di Kuala Lumpur.
- Diterbit 27 April 2025 4:00 PM MYT

SEBANYAK empat buah premis pelacuran ditutup serta-merta dalam tindakan penguatkuasaan yang dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini.

DBKL berkata pihaknya telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas premis yang menawarkan perkhidmatan seks di kawasan Petaling, Parlimen Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Tindakan dijalankan berdasarkan pemantauan dan risikan yang dijalankan di sekitar lokasi selama beberapa hari sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

“Hasil daripada risikan, sebanyak empat buah premis telah dikenal pasti menjalankan aktiviti persundalan di sekitar lokasi semasa tindakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tambahnya premis ditutup serta-merta di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“DBKL juga merobohkan struktur dalaman yang didirikan untuk dijadikan bilik khas supaya aktiviti persundalan dapat dilakukan.

“Selain itu, DBKL juga turut mengeluarkan empat notis tawaran kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 serta merampas kesemua barangan yang melibatkan aktiviti persundalan.

“Kesemua barangan yang dikenakan tindakan sita telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya.

DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti dan sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di https://adukl.dbkl.gov.my/. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas