PEREKA fesyen terkenal tanah air, Rizman Ruzaini, bakal melakar sejarah tersendiri apabila akan melangkah ke pasaran antarabangsa.
Tidak hanya mahu membawa budaya Malaysia ke persada dunia , jenama Rizman Ruzaini juga yakin ini adalah waktu yang tepat untuk menjadikan rekaan mereka kini sebagai sumber inspirasi buat pereka muda negara.
Berkongsi cabaran sepanjang menceburi bidang fesyen, jelas Rizman mewakili jenama ini antara yang menjadi fokus utama adalah untuk memastikan setiap rekaan mereka diterima baik sekali gus memberi ruang buat pereka mengukuhkan jenama Rizman Ruzaini.
“Setiap kali diberi peluang untuk membuat persembahan di pentas antarabangsa, memang Rizman Ruzaini akan membawa Malaysia bersama. Bagi kami di Rizman Ruzaini ini adalah cara untuk memastikan Masyarakat antarabangsa melihat Malaysia.
“Konsep yang sama kami gunakan mula-mula bertapak sejak 20 tahun lalu, apabila menggunakan artis- artis terkenal tanah air untuk memperagakan rekaan kami, kali ini untuk misi yang lebih besar kami mahu melihat pakaian kami diterima barisan selebriti antarabangsa pula,”katanya.
Katanya selepas 20 tahun bertungkus lumus membina nama, mereka kini yakin untuk memasarkan Rizman Ruzaini buat masyarakat antarabangsa.
Tambahnya melalui keyakinan yang diberikan pelanggan mereka, Rizman Ruzaini kini sudah bersedia untuk membuka butik pertama mereka di Dubai dalam melengkapkan permintaan pasaran di peringkat global.
“Memang dalam perancangan untuk Rizman Ruzaini membuka sebuah butik di Dubai, malah Ketika ini juga kami sudah mempunyai barisan pelanggan terutamanya dari Timur Tengah yang memang banyak memberi sokongan.
“Jadi pembukaan butik ini kelak secara tidak langsung dapat memenuhi permintaan dari pelanggan di sana,”katanya.
Sementara itu menurut Rizman dalam memastikan jenama ini kekal relevan, pihaknya kini juga dalam perancangan untuk membuat beberapa perubahan membabitkan struktur peniagaan mereka agar mampu bersaing dengan lebih baik.
“Memang kami sedang merancang ke arah itu, sebab selepas hampir 20 tahun ini adalah waktu yang sesuai untuk Rizman Ruzaini revamp.
“Kami harap dengan perubahan ini akan memberi peluang untuk jenama ini berkembang lebih maju,”tambahnya. – WILAYAHKU