BEKAS Menteri Besar Perak, Tun Ramli Ngah Talib dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan berkuat kuasa 1 Mei ini.
Beliau menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan yang berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara hari ini.
Pada istiadat sama, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) yang membawa gelaran Tun kepada Ramli.
Beliau menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abd Razak yang menyandang jawatan itu selama satu penggal bermula 1 Mei 2021.
Pelantikan berkenaan berkuat kuasa 1 Mei ini selama empat tahun hingga 30 April 2029.
Istiadat tersebut turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Hadir sama Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah serta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Pada istiadat berkenaan, Seri Paduka turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ahmad Fuzi yang berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kelapan. – WILAYAHKU