Berita

‘Saya menyanyi kerana menghargai warga KKM, tanpa bayaran’ – Siti Nurhaliza

SITI Nurhaliza
- Diterbit 24 April 2025 12:30 AM MYT

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menafikan dakwaan beliau dibayar bagi menjayakan persembahan sempena program Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.

Menerusi Instagram Story (IGs), Siti meluahkan rasa kesal dengan tuduhan yang dilemparkan mengenai penampilannya di majlis terbabit.

“Saya datang ke majlis KKM sebagai tetamu dan bukan artis yang diundang membuat persembahan.

“Saya menyanyi kerana mahu menghargai warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran,” katanya pada Rabu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi perkongsian di Facebook pada Selasa memuat naik foto artis yang dijemput dalam majlis berkenaan bagi menghiburkan tetamu termasuk Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.

Siti yang juga penyanyi nombor satu negara ini berharap fitnah yang tidak berasas itu tidak berpanjangan.

“Saya tidak mahu lebih ramai memanjangkan fitnah apabila nama saya dipetik dalam berita atas nyanyian saya di majlis semalam.

“Penjelasan ini penting supaya anda tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama atau gambar saya dengan sesuatu tidak sahih beritanya,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Dzulkefly menerusi hantaran di X pada Rabu turut mengesahkan bahawa kedua-dua artis tersebut hadir sebagai tetamu dan membuat persembahan tanpa bayaran.

Terdapat juga pihak yang mendakwa kontroversi ini timbul berpunca daripada masalah dalaman di KKM.

“Kami akan terus berusaha untuk menangani isu sistemik untuk pekerja kesihatan kami, itu komitmen saya,” ujarnya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas