SERAMAI 1.9 juta pengunjung dijangka memeriahkan acara Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang bakal berlangsung dari 23 Mei – 1 Jun depan bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Selain itu, penyertaan pempamer turut menyaksikan peningkatan iaitu sebanyak 450 syarikat membabitkan 1,113 reruai.

Pengerusi Pengelola PBAKL 2025, Mohd Khair Ngadiron, berkata persiapan teliti sedang giat dijalanjan bagi memastikan keselesaan semua pihak termasuk pempamer serta pengunjung.
“Sistem tempahan reruai secara atas talian yang diperkenalkan tahun ini menunjukkam perkembangan amat memberangsangkan.
“Ini menunjukkan kematangan industri digital dan kesediaan kita melalui arus perubahan.
“Pada tahun lalu, rekod kehadiran mencatat 1.8 juta melepasi jangkaan awal kami sebanyak 1.3 juta.
“Ini mengesahkan bahawa buku masih menjadi nadi kehidupan masyarakat, dan PBAKL adalah pentas rakyat menyatakan cinta mereka terhadap ilmu,” katanya di Majlis Pra Pelancaran PBAKL 2025.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan.
Mohd Khair menambah, PBAKL2025 kekal sebagai pesta buku hibrid yang berlangsung secara fizikal dan digital, demi memastikan ilmu sampai kepada segenap masyarakat.
Bagi edisi ke-42 ini juga katanya PBAKL2025
memperkenalkan empat Pavilion khas membabitkan kementerian strategik iaitu
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Turut serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Terima kasih KPM dan agensi-agensi di bawahnya, terutamanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan seluruh rakan
industri perbukuan atas dukungan teguh mereka.
“Tanpa sinergi ini, PBAKL 2025 tidak mungkin dapat diteruskan,” katanya.
PBAKL 2025 bertemakan Buku: Membaca dan Memimpin.-WILAYAHKU