SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menahan reman seorang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Sabak Bernam, Selangor, petang semalam.
Menurut sumber, ini selepas individu tersebut disyaki menyalahgunakan kuasa membuat pindahan wang peruntukan dari akaun jawatankuasa berkenaan ke akaun peribadi miliknya tanpa kebenaran mana-mana pihak.
Perintah reman selama empat hari sehingga 26 April terhadap suspek wanita berusia lingkungan 40-an dikeluarkan Majistret Noora Nisa Ngadirin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi tadi.
Sumber memberitahu, berdasarkan maklumat diterima, terdapat pengerusi-pengerusi JPKK di daerah berkenaan yang menyalahgunakan kuasa dengan membuat pindahan wang dari akaun JPKK ke akaun persendirian bagi kegunaan peribadi tanpa kebenaran ahli JPKK.
“Mereka turut dipercayai membuat pembelian aset tanpa kebenaran mana-mana pihak selain tidak mengemukakan bukti-bukti pembayaran perbelanjaan kepada ahli mesyuarat JPKK.
“Susulan maklumat ini, SPRM menahan seorang wanita kira-kira pukul 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor,” katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU