Berita

Mahkamah Sesyen KlL benarkan tindakan DBKL lelong barang penyewa gagal bayar sewa

HAD Parkir Dua Jam Akan Dikuatkuasakan di Kuala Lumpur.
- Diterbit 23 April 2025 3:00 PM MYT

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan pelaksanaan satu lelongan awam ke atas barangan milik penyewa yang gagal menjelaskan tunggakan sewa premis milik Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, tindakan lelongan tersebut adalah langkah terakhir selepas ruang rundingan dan penyelesaian secara baik telah ditawarkan kepada penyewa terlibat, namun tidak dipatuhi.

“Sebagai pemilik premis, Datuk Bandar Kuala Lumpur sentiasa membuka ruang perbincangan dan memberi peluang kepada penyewa untuk menyelesaikan tunggakan secara rundingan.

“Malangnya, terdapat segelintir penyewa yang masih gagal mematuhi syarat perjanjian sewaan walaupun diberi tempoh yang munasabah,” jelas kenyataan itu.

Lelongan dan sitaan ini, kata DBKL, dilaksanakan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada demi menjamin hak pemilikan dan memastikan pengurusan aset awam dilakukan secara bertanggungjawab.

DBKL turut menyeru semua penyewa premis miliknya agar lebih bertanggungjawab dan cakna terhadap komitmen sewaan mereka.

“Sekiranya menghadapi kesulitan, pihak kami sedia berbincang bagi mencari penyelesaian yang terbaik bersama,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam catatan Facebook yang sama, DBKL memaklumkan bahawa pelaksanaan tindakan tegas ini adalah bukti komitmen pihak berkuasa tempatan itu dalam memastikan keadilan kepada semua pihak serta mengelakkan penyalahgunaan aset milik kerajaan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas