Berita

550 pelatih sertai PLKN Siri 2/2025

SESI Latihan Menembak Senjata Ringan merupakan salah satu modul dalam PLKN 3.0.
- Diterbit 23 April 2025 12:00 PM MYT

SERAMAI kira-kira 550 orang pelatih akan terpilih bagi menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 2/2025 bermula pada 11 Mei sehingga 24 Jun ini.

Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dalam kenyataan memaklumkan program 45 hari itu akan diadakan bertempat di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan Pahang.

“Dijangkakan seramai 550 orang pelatih akan terpilih bagi siri 2/2025 dan sepanjang program tersebut pelatih akan diberikan pendedahan terhadap Latihan fizikal, mental dan sivik,” katanya.

Menurut JLKN, modul-modul latihan berintegrasikan 70% Latihan Asas Ketenteraan dan 30% berdasarkan komponen kenegaraan.

“Bagi modul Latihan Asas ketenteraan para pelatih akan dilengkapkan dengan kemahiran asas ketenteraan, dasar keselamatan negara, asas kesejahteraan hidup Malaysia MADANI dan kemahiran kepimpinan.

“Manakala modul Komponen Kenegaraan akan mendedahkan pelatih dengan latihan tentang elemen jati diri, patriotisme dan memperkukuh perpaduan,” katanya.

Panggilan kemasukan pelatih bagi sesi PLKN Siri 2 boleh disemak bermula hari ini melalui laman sesawang rasmi di https://jlkn.mod.gov.my/.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada JLKN di laman sesawang rasmi https://jlkn.mod.gov.my/ atau Unit Pelatih di talian 03-40133 613/03-40133 618 atau e-mel ke [email protected]. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas