Berita

Produk disahkan ada DNA babi di Indonesia: JAKIM lakukan pemeriksaan menyeluruh

- Diterbit 22 April 2025 11:30 AM MYT

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertindak melakukan pemeriksaan menyeluruh susulan pengumuman rasmi pihak berkuasa di Indonesia berhubung penarikan balik produk makanan yang didapati mengandungi DNA babi (porcine).

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya memandang serius perkara itu seperti dinyatakan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia, semalam.

Katanya, berdasarkan siaran media rasmi BPJPH (https://bpjph.halal.go.id/detail/siaran-pers), hasil pemantauan bersama BPOM mendapati 11 ‘batch’ daripada sembilan produk makanan telah dikesan mengandungi DNA babi melalui analisis makmal.

“Daripada jumlah tersebut, sembilan ‘batch’ daripada tujuh produk memiliki sijil halal, manakala dua ‘batch’ daripada dua produk tidak memiliki sijil halal,” katanya dalam kenyataan.

Sirajuddin memberitahu, JAKIM menyokong penuh tindakan tegas dan proaktif pihak berkuasa Indonesia dalam menangani isu pelanggaran pematuhan pensijilan halal serta aspek keselamatan makanan.

“Sehubungan itu, sebagai langkah pencegahan awal, JAKIM segera melaksanakan tindakan pemantauan bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh kepada produk-produk berkenaan jika dikesan berada di pasaran tempatan,” jelasnya.

Beliau menambah, JAKIM turut mengarahkan pihak-pihak pengimport yang terlibat segera menghubungi JAKIM melalui e-mel [email protected] dan mengambil tindakan penarikan balik produk terbabit dari pasaran Malaysia.

Langkah itu katanya, sejajar dengan prinsip utama dalam pemeliharaan hak pengguna Muslim serta memastikan integriti sistem pensijilan halal negara sentiasa terpelihara dan diyakini.

Justeru jelasnya, JAKIM menyeru orang ramai untuk turut memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sekiranya menjumpai produk-produk tersebut di pasaran.

“Aduan boleh dikemukakan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM melalui pautan https://islam.spab.gov.my/eApps/system/index.do.

“JAKIM amat komited dalam memastikan produk yang benar-benar mematuhi piawaian halal dibenarkan berada di pasaran, demi memelihara hak dan kepentingan pengguna Muslim di Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas