Berita

MCMC, Johor jalin kerjasama strategik

- Diterbit 22 April 2025 11:00 AM MYT

KEMENTERIAN Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalin kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Johor menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di Majlis Bandaraya Johor Bahru pada Isnin.

MCMC dalam kenyataan berkata kerjasama strategik ini bertujuan untuk memperkukuh infrastruktur digital, memperluas liputan rangkaian Internet, serta meningkatkan tahap kesedaran rakyat terhadap keselamatan siber dan literasi digital.

“Pelbagai inisiatif baharu akan dilaksanakan termasuk pembangunan infrastruktur digital, peluasan liputan 5G di kawasan strategik, pembangunan kapasiti rakyat dan pelaksanaan program keselamatan siber.

“MCMC akan mendokong Negeri Johor ke arah transformasi teknologi dan ekonomi yang progresif, serta model kerjasama antara Kerajaan negeri dan persekutuan dalam memacu pembangunan ekosistem negara berteknologi tinggi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, peruntukan sebanyak RM300 juta diperlukan bagi memastikan pelaksanaan dan objektifnya tercapai dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Kementerian Komunikasi dan MCMC akan meningkatkan capaian Internet khususnya untuk menggalakkan penggunaan aplikasi mudah alih oleh orang awam dengan memasang Wi-Fi awam baharu untuk digunakan dengan selamat oleh orang awam dan juga pelancong menerusi inisiatif Johor Safe City.

“Peluasan liputan 5G juga akan dilaksanakan di kawasan berimpak tinggi termasuk pusat transit awam dan kemudahan sukan, kawasan perindustrian, tempat tumpuan pelancong dan di kawasan projek pusat data di Johor untuk menyokong dan merancakkan transformasi ekonomi dan digital Johor,” katanya.

Jelasnya Johor telah diiktiraf sebagai lokasi yang paling pesat berkembang untuk pusat data di seluruh Asia Tenggara, di mana jumlah kapasiti pusat data Johor dijangka akan terus meningkat dan melepasi tanda 2.7 Gigawatt (GW) pada tahun 2027.

“Melihat potensi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin pelaburan baharu di Johor, kerjasama ini juga akan memastikan kawasan JS-SEZ mempunyai infrastruktur digital dan capaian Internet yang kukuh, stabil dan menyeluruh, untuk menyokong peningkatan perdagangan dan perniagaan di kawasan ini,” katanya.

Terdahulu, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyaksikan pertukaran MoU berkenaan.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta Pengerusi Eksekutif MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas