Berita

Pegawai diperiksa polis: SPRM buka siasatan dalaman

Foto: BERNAMA
- Diterbit 22 April 2025 10:30 AM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka satu kertas siasatan dalaman bagi meneliti secara terperinci insiden pegawainya yang turut diperiksa dalam serbuan mengejut Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut SPRM, ini bagi memastikan sama ada berlaku sebarang pelanggaran kod etika perkhidmatan atau undang-undang.

“Kita tidak akan berkompromi sekiranya mana-mana pegawai didapati telah melanggar undang-undang atau mencemarkan integriti institusi ini.

“Tindakan tegas akan diambil berdasarkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti yang menjadi teras perjuangan SPRM,” jelasnya dalam kenyataan.

SPRM menambah, siasatan lanjut telah diserahkan kepada PDRM dan pihak suruhanjaya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.

“SPRM kekal komited untuk memelihara integriti perkhidmatan awam dan memastikan kepercayaan rakyat terhadap usaha membanteras rasuah tidak terjejas,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas