KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menyifatkan tindakan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, yang menyiarkan Jalur Gemilang dalam bentuk tidak lengkap pada muka depan edisi 15 April sebagai satu kecuaian serius dan tidak boleh diterima.
Ilustrasi bendera negara yang diterbitkan tanpa simbol bulan sabit — yang melambangkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan — telah mengundang kecaman daripada pelbagai pihak dan menimbulkan kebimbangan terhadap sensitiviti kebangsaan.
Menurus kenyataan media hari ini, KDN memaklumkan bahawa siasatan terhadap insiden tersebut telah dimulakan segera mengikut dua perundangan utama, iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
“Perbuatan ini bukan sahaja mencerminkan kelalaian dari sudut profesionalisme, malah berpotensi menjejaskan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, KDN telah memanggil pihak Sin Chew Daily untuk memberi keterangan dan telah menyerahkan Surat Tunjuk Sebab kepada pengurusan akhbar terbabit sebagai sebahagian daripada proses siasatan.
Kementerian turut memberi amaran bahawa tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana penerbitan yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera negara atau yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Jalur Gemilang bukan sekadar reka bentuk visual. Ia adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional yang wajib dihormati oleh semua pihak,” tegas kenyataan itu.
KDN memberi jaminan bahawa sebarang tindakan lanjut termasuk penguatkuasaan undang-undang akan dipertimbangkan sebaik sahaja siasatan selesai.-WILAYAHKU