JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Labuan menahan 11 warga asing yang didapati melakukan kesalahan berkaitan imigresen selepas mengempur beberapa penempatan di sekitar pulau ini menerusi Ops Penguatkuasaan, semalam.
Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai berkata, operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada 15 April sekitar jam 2 pagi hingga 4.30 pagi di beberapa penempatan yang disyaki menjadi kawasan kediaman warga asing.
“Hasil pemeriksaan seramai 11 orang warganegara asing melibatkan seorang perempuan, dua orang lelaki dan enam orang kanak-kanak perempuan warganegara Filipina dan dua orang lelaki warganegara Indonesia.
“Kesemua yang ditahan berumur di antara satu tahun hingga 57 tahun dan kesemua ditahan susulan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),”katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kesemua tahanan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan Depot Imigresen Labuan untuk siasatan dan tindakan susulan.
Sehubungan itu, JIM Labuan akan terus mengenakan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Passport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI. – WILAYAHKU.