AKTRES popular Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh hadir sekitar jam 11.15 pagi tadi untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Solat Utama, Masjid Negara.
Selain itu, turut kelihatan penyanyi rock terkenal, Datuk Ramli Sarip, pelawak dan penyampai radio Johan serta suami kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin iaitu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
Beberapa tokoh politik dan pemimpin kerajaan yang turut hadir memberi penghormatan terakhir antaranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tiba pada jam 10.57 pagi bersama anaknya yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Turut mencuri tumpuan ialah kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang dibenarkan yang tiba lebih awal iaitu pada jam 10.35 pagi dengan dikawal ketat oleh Jabatan Penjara Malaysia.
Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor juga tiba secara berasingan untuk memberi penghormatan terakhir.
Sementara itu bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong turut hadir serta bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.
Abdullah, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pukul 7.10 malam semalam.
Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan selepas waktu Zuhur mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara. – WILAYAHKU