PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah atas pemergian tokoh ekonomi Islam dan pemikir ulung, Profesor Khurshid Ahmad, yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat dunia Islam.
Dalam satu catatan di Facebook, Perdana Menteri menyifatkan Allahyarham bukan sekadar ilmuwan, tetapi juga arkitek penting dalam membentuk wacana ekonomi Islam moden dan pengasas bersama The Islamic Foundation di United Kingdom yang telah memberi sumbangan besar dalam pengembangan ilmu dan pemikiran Islam secara global.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa dukacita atas pemergian almarhum Profesor Khurshid Ahmad. Beliau seorang tokoh besar — pemikir, pendidik, dan aktivis yang amat dihormati di peringkat antarabangsa. Sumbangan beliau dalam merintis sistem ekonomi berlandaskan syariah sangat luar biasa dan menjadi inspirasi kepada ramai cendekiawan masa kini,” kata Anwar.
Perdana Menteri turut mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa almarhum, menerima segala amal solehnya, melapangkan kuburnya dan menempatkan beliau dalam kalangan para syuhada serta solihin.
“Pemergian beliau adalah kehilangan besar buat umat Islam seluruhnya. Namun, legasi ilmu dan perjuangannya akan terus hidup dan menyinari generasi akan datang,” katanya.
Profesor Khurshid Ahmad dikenali luas dalam kalangan ilmuwan dan aktivis Islam sebagai pelopor ekonomi Islam kontemporari dan telah menerbitkan pelbagai karya penting dalam bidang tersebut.-WILAYAHKU