NEGARA hari ini berduka dengan pemergian mantan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah kembali ke rahmatullah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat negara, mengenang beliau sebagai tokoh negarawan berjiwa luhur yang membawa nafas baharu dalam landskap kepimpinan negara.
“Saya baru menerima berita yang amat menyentak jiwa bahawa sahabat saya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, telah kembali menemui Ilahi.
“Pemergian beliau bukan sekadar kehilangan seorang pemimpin, tetapi sosok insan yang membawa makna kemanusiaan dalam kepemimpinan,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Anwar turut berkongsi kenangan peribadinya bersama Allahyarham, termasuk kunjungan terakhir beliau kepada Tun Abdullah yang ketika itu dalam keadaan uzur.
“Saat tangan kami bersentuhan, meski matanya kabur, masih terpancar sinar kasih dan kedamaian yang tidak pernah padam.
“Dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, Pak Lah sentiasa menjadi pihak yang menenangkan,” katanya, menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin yang sentiasa menampilkan adab dan ihsan, walaupun ketika berbeza pandangan politik.
Tun Abdullah, yang dikenali dengan pendekatan sederhana dan Islam Hadhari, menurut Anwar, telah meletakkan asas penting dalam menjambatani kemajuan negara dengan nilai-nilai murni.
“Di bawah kepemimpinan beliau, kita menyaksikan reformasi kehakiman, peningkatan ketelusan pentadbiran, serta pemerkasaan institusi awam.
“Beliau turut membuka ruang media dan penyertaan rakyat dalam urus tadbir negara, yang memerdekakan suara rakyat,” katanya.
Allahyarham Tun Abdullah atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah, menerajui negara dari tahun 2003 hingga 2009, dengan pentadbiran yang menekankan pembangunan insan, ekonomi dan luar bandar melalui Rancangan Malaysia Kesembilan.
“Namun lebih dari segala pencapaian itu, beliau mengajarkan kita erti kepimpinan yang penuh kasih. Pak Lah memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi. Itulah peribadi beliau yang memilih damai ketika mudah untuk membalas,” kata Anwar lagi.
Dalam ucapannya, Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham termasuk isteri Tun Jeanne Abdullah dan anakanda Khairy Jamaluddin.
“Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya, mengangkat darjatnya bersama para solihin, dan mengurniakannya ganjaran syurga atas segala amal kebajikan yang ditabur sepanjang hayat,” katanya.-WILAYAHKU