Berita

1,089 Polis bertugas kawal keselamatan lawatan berprofil tinggi Presiden China

Ketua Polis Kuala Lumpur, Commisioner Polis (CP) Datuk Rusdi Mohd Isa
- Diterbit 14 April 2025 3:00 PM MYT

SERAMAI 1,089 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai jabatan dan unit ditugaskan bagi memastikan kawalan keselamatan serta kelancaran sepanjang lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia yang bermula esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Commisioner Polis (CP) Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, penugasan melibatkan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan sokongan daripada Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

Katanya, pelbagai unit keselamatan termasuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) turut digerakkan bagi menghadapi lawatan rasmi berprofil tinggi ini.

“Seperti dinyatakan dalam kenyataan media sebelum ini, Presiden China akan menginap di sebuah hotel di Putrajaya. Penutupan jalan akan dilaksanakan sepenuhnya di lebuh raya sebelah kiri dan kanan dalam tempoh 30 hingga 40 minit sepanjang penginapan beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur hari ini antara Datuk Azry Akmar Ayob yang menyerahkan jawatan tersebut kepada Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Commisioner Polis (CP) Datuk Rusdi Mohd Isa

Mengulas lanjut, Rusdi berkata, sebarang bentuk ancaman keselamatan tetap menjadi fokus utama pasukan polis memandangkan lawatan ini merupakan kunjungan rasmi ketua negara asing paling berprofil tinggi dalam sejarah diplomatik Malaysia.

“Risiko boleh berlaku di mana-mana, namun pasukan keselamatan telah bersedia sepenuhnya bagi memastikan lawatan berlangsung dengan aman dan lancar. Ini adalah detik penting dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan China,” katanya.

Semalam, Pengarah JSPT Bukit Aman, CP Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan, sebanyak 17 laluan akan ditutup sementara antara 30 hingga 45 minit, bergantung kepada pergerakan delegasi Presiden Xi.

Lawatan rasmi ini dijangka mengukuhkan lagi hubungan strategik Malaysia-China dan menjadi tumpuan dunia dari segi keselamatan, diplomasi serta logistik.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas