Berita

KKR sedia beri khidmat nasihat teknikal keselamatan struktur bangunan susulan kebakaran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lahat, Bandar Baru Lahat

- Diterbit 13 April 2025 5:50 PM MYT

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) bersedia memberi khidmat nasihat teknikal kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menilai tahap keselamatan struktur bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lahat, Bandar Baru Lahat, Ipoh, Perak yang terbakar semalam.

Kebakaran yang berlaku di tingkat tiga blok D itu melibatkan bumbung tujuh bilik darjah dengan anggaran kemusnahan kira-kira 30 peratus.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata penilaian yang akan dibuat Jabatan Kerja Raya (JKR) itu penting bagi memastikan bangunan yang terlibat benar-benar selamat sebelum sebarang kerja pemulihan atau pengoperasian semula dilakukan.

“KKR komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak KPM dan semua agensi berkaitan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar, guru serta warga sekolah sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya juga dimaklumkan siasatan masih dijalankan pihak bomba bagi mengenal pasti punca kejadiann.

“Buat masa ini, kawasan kejadian masih dalam kawalan pihak berkuasa dan tidak dibenarkan dimasuki oleh pihak luar bagi memastikan keselamatan semua pihak dan kelancaran siasatan,”katanya dalam satu kenyataan.

Alexander turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, khususnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih serta Batu Gajah, yang telah bertindak pantas dan profesional dalam menangani situasi itu.

“Saya dimaklumkan, jentera bomba tiba di lokasi dalam masa tiga minit dan berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh lebih sejam, tanpa sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan,” katanya.

Dalam insiden kebakaran semalam, pihak bomba difahamkan mengambil masa selama lima jam untuk memadamkan kebakaran.

Kebakaran melibatkan tiga bilik darjah, dua stor dan masing-masing sebuah bilik khas dan studio seni.-WILAYAHKU

Foto: Howard Lee

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas