KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan berkrompomi dengan aspek keselamatan di hospital milik kerajaan.
Menterinya Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad, berkata KKM akan memperketatkan Prosedur Operasi Standar (SOP) dari sudut keselamatan.
“Kita akan terus mempertingkatkan lagi SOP dan kawalan. KKM tidak akan ambil mudah isu keselamatan di fasiliti kami.
“KKM tidak akan berkrompomi dari sudut keselamatan dan kita akan mencari jalan untuk memperketatkan lagi SOP dari sudut keselamatan,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Sambutan Wold Physical Activity Day (WOPAD) Peringkat Kebangsaan 2025 bersempena dengan Car Free Day Putrajaya.
Sementara itu, Zulkefly juga berkata insiden yang kecoh semalam berhubung dakwaan sepasang bayi kembar dilarikan ‘doktor palsu’ yang dikatakan berlaku di Hospital Kuala Lipis umpama ‘teguran’ kepada KKM untuk menambah baik lagi kawalan keselamatan mereka.
Semalam, satu hantaran di laman Facebook bertajuk “Sepasang Bayi Kembar Hilang Dilarikan oleh Doktor Palsu di Hospital Kuala Lipis” tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail mengesahkan laporan polis dibuat Hospital Kuala Lipis yang menafikan kejadian berkenaan.-WILAYAHKU