PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan bahawa pengumuman peruntukan pembangunan RM6.13 juta oleh Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan di Tapah baru-baru ini tidak melanggar mana-mana undang-undang pilihan raya.
Presidennya, Jais Abdul Karim, berkata bahawa berdasarkan peruntukan Akta Pilihan Raya Malaysia, sekatan terhadap aktiviti kerajaan hanya berkuat kuasa bermula pada hari penamaan calon iaitu hari ini, 13 April 2025.
“Sebelum tarikh ini, kerajaan masih dibenarkan melaksanakan tugas-tugas rasmi termasuk mengumumkan pelan pembangunan yang telah diluluskan menerusi bajet negara,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Jais, program di Tapah adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Sentuhan Kasih KPKT yang telah lama dirancang dan bukan janji pilihan raya saat akhir.
“Projek-projek ini memberi manfaat kepada rakyat secara langsung dan adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang kementerian – bukan bantuan tergesa-gesa atau habuan politik,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa MCW menyokong prinsip pilihan raya yang adil dan bersih, namun menasihatkan semua pihak agar tidak menyamakan urusan pentadbiran kerajaan yang sah dengan salah laku pilihan raya, terutama sebelum tempoh berkempen bermula secara rasmi.
Justeru, katanya, selepas bermulanya hari penamaan calon secara rasminya hari ini, MCW mengingatkan semua pihak agar mematuhi etika pilihan raya sepenuhnya, termasuk larangan penyalahgunaan jentera kerajaan, pengumuman projek baharu menggunakan dana awam, dan pemberian kelebihan tidak adil kepada mana-mana parti melalui sumber kerajaan.
“Kita mesti berpegang kepada fakta, menghormati undang-undang, dan memelihara kepercayaan rakyat terhadap proses demokrasi negara,” tegas Jais.
MCW turut menyeru pengawasan awam yang aktif dan bertanggungjawab dalam memastikan integriti sepanjang musim pilihan raya ini.
Terdahulu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyelar keras pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berhubung peruntukan RM6.13 juta bagi 33 projek pembangunan di kawasan Parlimen Tapah pada Program Sentuhan Kasih 3.0 di Pasar Awam Tapah Road, -WILAYAHKU