Berita

DBKL sahkan telah ambil tindakan tegas terhadap struktur kuil di bina tanpa kelulusan

HAD Parkir Dua Jam Akan Dikuatkuasakan di Kuala Lumpur.
- Diterbit 11 April 2025 6:00 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap pembinaan struktur kuil sementara di Lot 205 (PT 200), Jalan Rahmat off Jalan Ipoh yang dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Menurut kenyataan DBKL, struktur tersebut yang didirikan di atas tanah milik persendirian, telah dikenakan beberapa tindakan termasuk pengeluaran notis di bawah Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Arahan berhenti kerja (Stop Work Order) serta tindakan penyegelan turut dilaksanakan.

“Hasil semakan mendapati kerja pembinaan telah dihentikan. Perbincangan bersama pemilik pada 7 April lalu memaklumkan bahawa struktur tersebut adalah penempatan sementara dewa-dewa dari kuil kecil sedia ada, susulan kerja pembangunan semula tapak sebagai kompleks komersial,” menurut kenyataan itu hari ini.

DBKL menegaskan struktur itu hanya untuk kegunaan peribadi pemilik dan bukan terbuka kepada awam.

“Pemilik juga memberi jaminan akan mematuhi segala peraturan ditetapkan serta akan mengemukakan permohonan kebenaran merancang secara rasmi untuk pertimbangan pihak berkuasa,” katanya.

DBKL turut memberi amaran bahawa sebarang pembinaan tanpa kelulusan adalah satu kesalahan dan tindakan sewajarnya akan diambil demi menjaga peraturan serta ketenteraman awam di ibu kota.

Terdahulu sebuah kuil telah dibina berhampiran Surau PERKIM pada jarak 100 meter di ibu negara telah mencetuskan bantahan jawatankuasa surau berkenaan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas