Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
AKSI terloncat-loncat macam kanggaru semasa menerima duit raya menjadi fenomena pada Aidilfitri yang lalu.
Perlakuan tersebut menjadi ikutan dan muncul sebagai kandungan yang sohor kini di media sosial
Bukan sahaja dilakukan kanak-kanak atau remaja malah golongan yang lebih berusia yang sepatutnya menegur perbuatan itu.
Sekalipun sesetengah pihak menganggapnya sebagai menambahkan keceriaan dalam menyambut Aidilfitri, walau bagaimanapun tetap mencetuskan kebimbangan berleluasanya pelanggaran adab yang sepatutnya ketika menyambut hari yang mulia itu.
Dalam kalangan agamawan dan budayawan juga ada menegur perbuatan yang dianggap mencemarkan kemurnian Aidilfitri itu. Tetapi sepanjang hari raya pertama hingga ketiga, itulah kandungan yang menjadi tular di media sosial.
Dalam budaya Melayu, menerima atau memberi duit raya merupakan suatu acara yang penuh makna dan dilakukan dengan penuh adab. Itu adalah tanda kasih sayang, saling menghargai dan juga mempererat hubungan antara ahli keluarga yang jauh juga dekat, terutama kanak-kanak.
Sejak usia yang mentah lagi kanak-kanak diasuh supaya beradab ketika menerima duit raya yag diberikan oleh golongan yang lebih dewasa.
Mereka diasuh bersalam dan mengucap terima kasih dengan cara yang tertib. Adab itu menjadi sebahagian keperluan dalam menyambut Aidilfitri yang merupakan satu acara agama dan akrab dengan budaya.
Namun kalau kita melihat beberapa paparan yang tular di media sosial, terutama yang menampilkan orang terloncat-loncat ketika menerima duit raya, hal itu amat bertentangan dengan adab yang sewajarnya. Masa yang sama membayangkan satu demi satu kerosakan berlaku dalam masyarakat yang bermula dengan perkara yang dianggap kecil.
Kita mesti sedar bahawa pada zaman digital yang serba canggih itu, media sosial menjadi bahagian yang tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan masyarakat. Kemudahan mengakses platform seperti TikTok, Facebook, Instagram dan X membuat kita semakin terhubung dengan dunia luar.
Keadaan sedemikian seharusnya membuatkan kita lebih berhati-hati, mempunyai tapisan kendiri (self censorship) yang tinggi dengan semua yang dipaparkan di media sosial. Fenomena terloncat-loncat itu disumbangkan oleh kecanggihan teknologi yang mendukung media sosial.
Media sosial menjadi sarana yang sangat kuat dalam menyebarkan semua perkara – sama ada baik atau buruk. Lebih buruk lagi kandungan yang tersebar di media sosial cepat mempengaruhi cara berpikir dan perilaku seseorang, terutama yang bercanggah dengan nilai-nilai agama dan budaya.
Sekiranya kita pasif dan tidak berhati-hati, tentu mudah terperangkap dengan kelakuan yang bertentangan dengan nilai-nilai yang kita anuti, contohnya terlompat-lompat ketika menerima duit raya.
Hal itu menjadi fenomena disebabkan aras kecaknaan terhadap adab berada pada tahap yang rendah.
Adab dan nilai budaya dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang sepatutnya dijunjung tinggi telah dilupakan dalam kemelut kegembiraan yang melewati garis kewajaran. Menganggap perilaku terloncat-loncat itu sebagai tidak beradab bukan satu yang ekstrem.
Sebaliknya memperlihatkan masih terdapat golongan atau individu yang tidak larut dalam nilai yang bertentangan dengan susila – pada sudut agama dan juga budaya. Pandangan itu semestinya diraikan dengan mempertajamkan daya fikir terhadap keadaan sosial di sekitar kehidupan kita.
Adab dalam menerima duit raya pada Aidilfitri merangkumi nilai-nilai yang membawa maksud hormat, kesopanan dan kepatuhan terhadap adat dan agama. Tindakan yang bercanggah tidak boleh diterima atas alasan apa sekalipun. Lebih-lebih lagi alasan untuk bergembira.
Golongan yang berusia yang turut terpalit dengan perlakuan jelik itu telah memberikan teladan yang tidak elok kepada generasi yang lebih muda, terutama kanak-kanak. Sepatutnya mereka yang memberikan teladan baik dalam membina jiwa dan pemikiran golongan muda.
Apabila hal itu menjadi fenomena, ia mencetuskan perbincangan tentang nilai-nilai dan adab dalam setiap tindakan, serta mengingatkan akan pentingnya memelihara nilai-nilai luhur dalam menyambut hari raya.
Dengan adanya reaksi dan kefahaman yang mendalam terhadap gejala sosial yang berkembang, masyarakat dapat memahami peri pentingnya melestarikan nilai-nilai yang luhur.
Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang berkait dengan agama Islam, masa yang sama turut didukung oleh nilai budaya Melayu yang selari dengan Islam. Sebab itulah Aidilfitri dianggap satu acara keraian paling besar dalam budaya Melayu.
Dalam konteks Malaysia, Islam dan budaya Melayu adalah tunjang kepada sambutan Aidilfitri, menjadikannya sebagai acara perayaan yang kaya dengan tradisi dan adat resam. Tentulah amat bertentangan dengan aksi tidak manis yang sekali gus menjadi fenomena di media sosial sepanjang Aidilfitri.
Adab-adab yang membawa nilai luhur itu memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku dan interaksi individu pada acara yang melibatkan Aidilfitri.
Lihat sahaja daripada cara berpakaian hinggalah adab berinteraksi dengan orang yang lebih tua.
Dilanjutkan lagi hingga semasa menikmati juadah, semuanya terangkum dengan nilai yang luhur.
Pakaian tradisi yang digayakan semasa Aidilfitri, seperti baju kurung bagi wanita dan baju Melayu bagi lelaki mencerminkan kesopanan dan keindahan yang dihargai dalam budaya Melayu.
Malah dalam budaya Melayu juga menghormati orang tua adalah suatu yang amat penting. Ahli masyarakat yang lebih muda memohon ampun dan restu daripada yang lebih tua sambil menerima duit raya. Amalan itu menyemai sifat merendah diri, berterima kasih dan menghormati yang lebih tua, selain rasa syukur dengan nikmat yang dikecapi.
Adab yang melingkari perayaan itu menjadi peringatan tentang nilai yang membentuk masyarakat Melayu dan menyumbang pada pembentukan generasi yang berakhlak. Melalui tradisi itulah inti pati Aidilfitri terus subur dan menyatukan rakyat yang berbilang kaum dan agama.
Oleh hal yang demikian, kelakuan jelik yang tular itu bukan suatu yang remeh. Itu perkara besar. Di situlah pentingnya kesedaran dan berhati-hati dengan pengaruh luar biasa media sosial yang mengikat kehidupan kita. Maka setiap dalam kalangan kita mesti bertekad tidak mudah larut dalam gelombang yang dicetuskan oleh media sosial.
Buang jauh-jauh pemikiran yang terjajah, contohnya pantang ada sesuatu yang kononnya baharu terus menjadi ikutan. Itu adalah sifat bangsa yang berfikiran terjajah kerana mengikut secara melulu tanpa dihitung atau disukat-sukat baik dan buruknya.
Harapnya Aidilfitri yang akan datang tidak ada lagi sesuatu yang mencemarkan keindahan dan kemurnian perayaan itu. Ada pelbagai cara yang beradab untuk menunjukkan atau mencipta suasana yang meriah. Adalah menjadi tanggungjawab masing-masing untuk memadamkan kandungan yang mencemarkan Aidilfitri itu.
Sedar akan ketelanjuran adalah satu kemenangan. Maka jadilah golongan yang menang dengan berubah pada yang lebih baik.
SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.