DALAM usaha membawa perubahan positif kepada kehidupan harian penduduk, Universiti Malaya (UM) mengadakan perkongsian ilmu penanaman pokok di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Kuala Lumpur.
UM memaklumkan program tersebut menyasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) bagi berkongsi ilmu berkenaan kepentingan pelaksanaan kebun komuniti di tengah bandar raya.
“Program yang berlangsung selama dua jam itu merupakan medan bagi penduduk mengetahui teknik yang sesuai bagi menguruskan sisa organik, seterusnya membangunkan kebun komuniti.
“Pendekatan ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan memastikan program kebun komuniti dirancang di setiap PPR dapat direalisasikan.
“Projek ini tidak hanya bertujuan mewujudkan kawasan hijau dalam persekitaran bandar, tetapi menggalakkan amalan berkebun yang mesra alam,” katanya.
Menurut UM, penduduk PPR mengaplikasikan perkongsian ilmu ini melalui projek kebun komuniti yang telah dimulakan sejak Februari lalu.
“Ia dibangunkan dengan keluasan minimum iaitu 30 meter persegi dan penglibatan 14 orang peserta. Projek enam bulan ini mendapat bantuan Pusat Pembangunan Ungku Aziz, UM.
“Sebagai penyumbang dana utama, ia merupakan inisiatif hijau yang menjadi pencetus dan harapan penduduk dalam mengamalkan gaya hidup lestari, meningkatkan kualiti hidup serta memupuk semangat kejiranan,” katanya. – WILAYAHKU