WILAYAH Persekutuan terus mengukuhkan peranannya di pentas serantau apabila tampil cemerlang dalam Malaysia Open House Exhibition @ ASEAN 2025.
Ia bersempena Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata penyertaan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dalam pameran itu merupakan satu peluang strategik untuk mempersembahkan kekuatan budaya.
Ini katanya termasuk inovasi dan potensi belia dari ketiga-tiga wilayah Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Kita mahu dunia melihat Wilayah Persekutuan bukan hanya sebagai pusat pentadbiran, tetapi sebagai nadi diplomasi pintar yang menyatukan nilai budaya, kekuatan ekonomi dan semangat belia,” katanya.
Antara tarikan utama di reruai JWP ialah paparan visi C.H.A.S.E, produk-produk tempatan termasuk batik linut dari Labuan, serta penggunaan teknologi Virtual Reality (VR) yang membawa pengunjung merasai pengalaman ‘lawatan maya’ ke Wilayah Persekutuan.
Menurut Zaliha pendekatan ini mencerminkan kematangan Malaysia dalam diplomasi ekonomi dan budaya, selari dengan usaha kerajaan memperkukuh kedudukan negara di peringkat ASEAN.
“Diplomasi hari ini menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh bukan sekadar rundingan meja, tetapi juga penyampaian naratif yang menggambarkan siapa kita, dari mana kita datang, dan ke mana kita mahu pergi,” jelas beliau.
Pameran Malaysia Open House kali ini menampilkan tiga zon utama iaitu Zon Budaya Malaysia, Zon Kewangan & Ekonomi, serta Zon Belia yang masing-masing membawa mesej kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing, beridentiti dan berpandangan jauh.
Beliau turut menggalakkan masyarakat umum untuk mengunjungi reruai JWP dan melihat sendiri pencapaian serta potensi Wilayah Persekutuan yang kini semakin menyerlah di pentas serantau.
“Inilah wajah Malaysia yang kita banggakan iaitu moden, inklusif dan berakar kuat pada budayanya.
Kita harus terus memperkukuh usaha seperti ini demi kesejahteraan rakyat dan pengaruh negara di peringkat global,” tambahnya.
Malaysia Open House @ ASEAN 2025 dijangka menerima kehadiran ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa sepanjang berlangsungnya mesyuarat AFMGM, sekali gus membuka ruang kepada pertukaran idea dan kerjasama rentas sempadan yang lebih bermakna. – WILAYAHKU