DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan tiga serbuan besar-besaran sepanjang cuti perayaan baru-baru ini, menyasarkan penjaja warga asing tanpa lesen yang beroperasi secara haram di beberapa lokasi tumpuan sekitar ibu kota.
Menerusi pelaksanaan Tindakan Khas Penjaja Warga Asing yang dijalankan di Jalan Silang, Jalan Bukit Bintang, Jalan Khoo Teok Ee, Jalan Petaling, Masjid Jamek, KLCC, Pavilion dan kawasan sekitarnya, sebanyak 28 aktiviti perniagaan haram telah dikenakan tindakan sita serta-merta.
Dalam beberapa hantaran di Facebook, antara aktiviti yang dikesan melibatkan penjualan makanan, minuman serta pakaian yang dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing tanpa kelulusan sah dan melanggar Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
“Sebanyak sembilan aktiviti disita dalam operasi pada 31 Mac, diikuti 11 lagi dalam serbuan berikutnya di lokasi tumpuan pelancong seperti KLCC dan Bukit Bintang, dan lapan lagi dalam tindakan terbaru sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin dan Jalan Leboh Pudu.
“Kesemua barangan perniagaan yang dirampas telah dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Taman Miharja, Cheras untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut,” jelas DBKL.
Dalam masa yang sama, DBKL turut menjalankan pemantauan statik secara berterusan dengan kehadiran anggota penguat kuasa serta wakil dari Jabatan Imigresen bagi membanteras operasi tanpa lesen, terutamanya yang dikendalikan oleh bukan warganegara.
“Kami tidak akan berkompromi. Setiap inci kota ini harus bebas daripadaw aktiviti haram yang menjejaskan ekonomi tempatan dan keselamatan awam,” tegas DBKL.
DBKL menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti penjajaan tanpa lesen agar melaporkan menerusi pautan aduan rasmi https://adukl.dbkl.gov.my. – WILAYAHKU