Berita

Taman Beringin berwajah baharu

ANTARA pengunjung yang bergambar di Beringin Street Art di Jinjang.
- Diterbit 13 April 2025 9:00 AM MYT
LORONG belakang di Taman Beringin, Jinjang yang sebelum ini suram kini berwajah baharu apabila dihiasi dengan mural pelbagai warna.

Ia menjadikan tarikan baharu bagi pengunjung yang gemar bergambar dan merakam kandungan digital.

Inisiatif dikenali sebagai Beringin Street Art itu merupakan sebahagian daripada usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memperindah kawasan bandar raya.

Perkara itu selaras dengan komitmen menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar yang lebih indah, selesa dan mesra komuniti.

Menerusi hantaran di laman Facebook, lorong belakang yang dahulunya sering dikaitkan dengan masalah kebersihan, kini dihiasi dengan lukisan mural yang menggabungkan elemen feminin dan urban, menjadikannya lebih ceria dan menarik.

“Projek pengindahan itu melibatkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, komuniti setempat serta artis mural tempatan, dalam usaha meningkatkan kualiti persekitaran dan memperkukuh jati diri warga bandar.

“Setiap ruang dinding digunakan sepenuhnya sebagai kanvas seni, sekali gus menukar landskap kawasan ini menjadi lokasi tumpuan baharu untuk aktiviti fotografi, pelancongan dan komuniti,” menurut DBKL.

Inisiatif seperti ini turut dilaksanakan DBKL di beberapa kawasan lain termasuk Pekan Sungai Besi, sebagai pendekatan memperkasa identiti tempatan melalui seni dan warisan visual.

Orang ramai digalakkan mengunjungi Beringin Street Art dan memanfaatkan ruang ini untuk bergambar serta berkongsi di platform media sosial sebagai sokongan kepada inisiatif seni komuniti. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas