DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Radium Development Berhad merasmikan laluan pejalan kaki berbumbung yang dilengkapi sistem pencahayaan solar, menghubungkan Stesen LRT Taman Melati ke Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT).
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata inisiatif itu selaras dengan matlamat jangka panjang pembangunan bandar raya yang mampan di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) dan Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030.
“Projek ini mencerminkan komitmen DBKL dalam meningkatkan kemudahan awam serta menggalakkan mobiliti mampan dalam kalangan warga kota,” katanya ketika berucap merasmikan laluan berkenaan.
Beliau berkata laluan tersebut bukan sahaja menyediakan akses yang selamat dan selesa untuk pejalan kaki, malah menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan pelepasan karbon di bandar raya ini.
Menurutnya projek berkenaan merupakan sebahagian daripada Program Flagship DBKL 2025 di bawah tema Penghijauan Bandar menerusi inisiatif Green Connector yang memberi tumpuan kepada pembinaan laluan pejalan kaki yang lebih hijau dan selamat.
Maimunah turut memuji Radium Development Berhad atas sumbangan mereka menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti Skim Pinjaman Pelajar TARC–Radium Care dan kerjasama dengan Dapur Jalanan PERTIWI.
“Usaha ini adalah contoh terbaik pelaksanaan pendekatan Kerjasama Awam, Swasta dan Rakyat (4P) yang menyokong pembangunan inklusif dan berorientasikan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar lebih banyak pemaju swasta tampil bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam memperkasa infrastruktur hijau di Kuala Lumpur.
Laluan ini merupakan antara usaha ke arah merealisasikan aspirasi Bandar untuk Semua (City for All) sebagaimana digariskan dalam PSKL 2040.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Radium Development Berhad, Datuk Gary Gan Kah Siong berkata bagi menyerlahkan kepentingan projek tersebut, pihaknya sebagai pemaju mempunyai tanggungjawab dalam pembangunan negara.
“Di Radium, kami percaya bahawa sebagai pemaju, kami mempunyai tanggungjawab bukan sahaja untuk membina, tetapi untuk membina secara bertanggungjawab dan responsif, mendengar, memahami dan bertindak dengan cara yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami untuk membina kebaikan dan memastikan infrastruktur memberi perkhidmatan kepada orang yang paling memerlukannya,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri, Presiden TAR UMT, Profesor Datuk Dr Lee Sze Wei dan Pengarah Eksekutif Radium Development Berhad, Chai Woon How. – WILAYAHKU