PERBADANAN Labuan (PL) akan terus mempergiat usaha membangunkan infrastruktur dan ekonomi Labuan bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan penduduk terus terbela.
Demikian ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif PL, Mohd Sukuran Taib sebagai komitmennya selepas genap 100 hari menerajui pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Malah beliau menyuarakan hasrat mahu mencapai matlamat tersebut bagi memastikan kemakmuran dalam pelbagai aspek khususnya dari segi pembangunan ekonomi Labuan.

Mohd Sukuran berkata meskipun pihaknya berdepan jumlah peruntukan kemudahan infrastruktur yang terhad selain pengoperasian sektor minyak dan gas semakin berkurangan serta kekangan kemudahan hubungan pengangkutan yang terbatas, namun ia mampu diatasi dengan strategi yang tepat.
“Meskipun begitu, saya melihat Labuan memiliki potensi untuk berkembang khususnya sebagai pusat ekonomi dan pelancongan yang lebih dinamik dan lestari.
“Semuanya ini mampu ditingkatkan jika kita menggunakan strategi-strategi tepat yang telah dirancang,” katanya dalam temu bual genap 100 hari menerajui PL di konti LabuanFM.
Mohd Sukuran menambah bahawa ketika ini PL mempunyai tiga pasukan khas yang ditubuhkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Katanya pasukan khas tersebut berfungsi untuk mengenal pasti, menganalisis dan mengambil langkah-langkah yang jitu agar jalan penyelesaian dapat diatasi.
“Dengan pasukan khas ini, isu-isu utama yang dihadapi di Labuan seperti kemudahan hubungan pengangkutan, bekalan air, elektrik serta sektor pelancongan dapat diatasi dengan pelbagai usaha secara konsisten,” katanya.
Beliau memaklumkan pihaknya turut memberikan penekanan terhadap pembangunan ekonomi dan sosial menerusi pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
“Kita di peringkat PL juga sedang menyediakan rangka tindakan untuk menggariskan strategi-strategi yang lebih terperinci kepada kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dijadikan sebagai kawasan pelancongan.
“Untuk makluman, Labuan juga bakal menyertai Malaysia Open House @ ASEAN sebagai usaha mempromosikan produk pelancongan menerusi teknologi AI dan VR di peringkat antarabangsa,” katanya. – WILAYAHKU