Artikel

Tindakan pantas DBKL

DBKL kutip 8.8 tan sampah di Jalan TAR.
- Diterbit 11 April 2025 8:30 PM MYT
PUJIAN kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana bertindak pantas tanpa bertangguh membersihkan kawasan Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR)‚ Kuala Lumpur‚ pada hari terakhir bazar 31 Mac lalu.

Walaupun sudah berlalu‚ kawan-kawan Kedai Kopi rasa terpanggil merakam usaha ini yang mencerminkan sikap prihatin DBKL. Sebanyak 8.8 tan sampah di bazar tersebut dibersihkan dengan kerjasama Alam Flora. Sebanyak 250 kilogram sisa sampah dikitar semula.

Tindakan pantas pembersihan dibuat bagi memastikan kawasan tersebut kekal bersih selepas tamatnya aktiviti perniagaan bazar. Maklum sahaja kawasan berkenaan jadi tumpuan ribuan pengunjung untuk membeli-belah keperluan hari raya.

Kata orang‚ banyak ikan banyak garam‚ banyak orang banyak ragam. Begitu juga keadaan Bazar Aidilfitri yang dikunjungi orang ramai daripada pelbagai kelompok dengan pelbagai perangai.

Ada pengunjung menjaga kebersihan. Tetapi ada juga yang tidak peduli‚ membuang sampah atau kotoran sesuka hati di sana sini. Malah ada peniaga yang bersikap mengabaikan kebersihan persekitaran.

Kawan-kawan Kedai Kopi harap kita sama-sama jaga kebersihan sepanjang masa‚ bukan hanya pada musim perayaan.

Kebersihan adalah tanggungjawab bersama‚ tidak harus hanya diletakkan di bahu DBKL. Jadilah warga kota yang pembersih dan mengamalkan kebersihan. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas