Biz

Tembusi pasar raya besar

- Gambar hiasan
- Diterbit 13 April 2025 3:00 PM MYT
DI pasaran hari ini terdapat pelbagai pilihan jenama produk pencuci dan pelembut pakaian sama ada produk luar negara mahupun keluaran tempatan yang berlumba-lumba untuk mendapat tempat di hati pelanggan.

Biarpun persaingan tersebut agak mencabar namun ia tidak sesekali mematahkan semangat Ketua Pegawai Operasi Biofitrah (M) Sdn Bhd‚ Aman Rasyidi Mohd Noor yang komited untuk mengembangkan produk pencuci dan pelembut pakaian di bawah label‚ PowerRein dan SoftRein.

AMAN RASYIDI

Bercerita lanjut tentang perjalanannya dalam bidang perniagaan‚ Aman berkata penghasilan produk tersebut tercetus kira-kira enam tahun lalu ketika dia terlibat dalam peniagaan dobi layan diri.

“Waktu itu agak sukar untuk saya mendapatkan sabun yang berkualiti‚ kadang-kadang pelanggan mengadu sabun tak wangi‚ kurang berbuih dan sebagainya‚ dari situ saya terfikir untuk hasilkan sabun sendiri yang diberi nama SoftRein di mana Soft membawa maksud lembut sementara Rein pula diambil daripada perkataan Jerman iaitu suci.

“Saya belajar dan buat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sehinggalah berjaya menghasilkan dua rangkaian produk pencuci dan pelembut tersebut.

“Pada awalnya‚ saya hanya menggunakannya di dobi sendiri tetapi dalam masa sama terdapat permintaan dobi sekitar. Alhamdulillah dalam tempoh empat tahun ia semakin mendapat permintaan sekali gus saya turut membekalkan produk tersebut ke seluruh Malaysia‚” katanya kepada Wilayahku.

Katanya sehingga ke hari ini produk pencuci dan pewangi yang dihasilkan tersebut dijual melalui platform media sosial dan e-dagang dengan permintaan yang amat menggalakkan.

Ini membuatkannya mengambil keputusan untuk menembusi rangkaian peruncitan pasar raya besar tidak lama lagi.

“Saya ambil keputusan untuk masuk ke dalam rangkaian pasar raya besar kerana kami mempunyai pelanggan tersendiri dan hampir setiap ketika ada sahaja yang bertanya dan berharap agar ia dijual di pasar raya.

“Walau bagaimanapun saya akui untuk berada di tahap ini dan menyenaraikan produk kita di pasaran besar bukanlah mudah‚ sesiapa sahaja akan berkorban dari segi tenaga‚ wang ringgit dan sebagainya namun saya akan buktikan anak tempatan mampu berjaya walaupun bermula dari bawah‚” katanya.

Aman juga yakin produk yang dihasilkan mampu menjadi salah satu produk pilihan setanding dengan yang ada di luar sana kerana formula yang digunakan melalui ujian SIRIM selain jaminan seperti antibakteria dan sebagainya yang diuar-uarkan kepada pengguna benar-benar wujud.

“Dalam masa sama‚ kita juga memastikan produk mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana elemen ini adalah amat penting yang perlu dititikberatkan dalam berniaga‚” katanya. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas