YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengumumkan pelantikan Zabidin Nasan sebagai Ketua Pengarah yang baharu berkuat kuasa hari ini.
YaPEIM dalam kenyataan berkata pelantikan tersebut dibuat bagi menggantikan Ameer Ali Vali Mohamed yang telah menamatkan perkhidmatan pada 10 April 2025 selepas memacu yayasan ini selama dua tahun.
“Zabidi tidak asing dalam agensi Hal Ehwal Agama (HEA) apabila sebelum ini pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan dari tahun 2018 sehingga April 2025,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Zabidi yang merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Islamic Revealed Knowledge and Heritage dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum ini pernah terbabit dalam pengurusan dan pentadbiran di UIAM apabila menjawat jawatan selaku penolong pengarah di Jabatan Latihan dan Kepimpinan Pusat Pengajian Asasi, UIAM dari tahun 1997 hingga 2007.
“Pada tahun 2007, beliau turut mengemudi Jabatan Rekod dan Pendaftaran Pusat Pengajian Asasi UIAM selaku penolong pengarah kanan sehingga tahun 2012 dan kemudian menjawat jawatan timbalan pengarah di Divisi Pembangunan Hal Ehwal Pelajar, UIAM selaku ketua jabatan perkhidmatan dan pentadbiran am dari tahun 2012 sehingga 2013.
“Beliau kemudian meneruskan perkhidmatan di Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan selaku pengurus besar dari tahun 2013 sehingga 2017,” katanya.
Dalam pada itu, YaPEIM turut mengumumkan Syamsul Firdaus Mohamed Supri sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM berkuat kuasa serta-merta.
“Syamsul Firdaus yang berasal dari Parit Yaani, Yong Peng, Johor sebelum ini pernah menyandang jawatan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan bagi penggal 2018-2023 dan kini berkhidmat selaku perunding pembangunan tenaga IAS Energy Sdn Bhd,” katanya.
YaPEIM turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ameer Ali yang sebelum ini menggalas jawatan Ketua Pengarah YAPEIM sejak 11 April 2023 sehingga semalam. – WILAYAHKU