Berita

5 agensi terima Sijil Khas Reformasi Kerenah Birokrasi

- Diterbit 11 April 2025 4:45 PM MYT

LIMA kementerian menerima Sijil Khas Reformasi Kerenah Birokrasi melibatkan lapan projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang memfokuskan kepada mempercepatkan urusan rakyat.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata reformasi bukan sekadar kata-kata tetapi ia adalah tentang komitmen tinggi, sikap tidak mudah mengalah serta tidak putus asa melaksanakan penambahbaikan berterusan demi menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.

“Reformasi menuntut kerajinan luar biasa. Bukan sekadar berpuas hati dengan apa yang ada.

“Saya ucapkan tahniah kepada lima agensi yang telah mendapat sijil khas reformasi kerenah birokrasi melibatkan lapan projek RKB yang ternyata berjaya mempercepatkan urusan rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Shamsul Azri berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjaya mempercepat masa semakan silang status nelayan meninggal dunia bagi pembayaran Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN), daripada tujuh kepada sehari.

“Impak utama yang dicapai ialah mengelakkan pemberian bantuan kepada anggaran 300 nelayan yang telah meninggal dunia bernilai RM1.08 juta setahun, melalui pemadanan data secara automatik, serta penjimatan kos sebanyak RM420,000 setahun apabila semakan tidak lagi memerlukan caj fi rasmi daripada agensi luar.

“Selain itu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berjaya mempercepat proses kelulusan Lesen Mineral tanpa premis daripada 61 hari kepada tujuh hari, bagi menyokong kelancaran operasi industri dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

“Projek itu mengurangkan kos pematuhan sehingga 20 peratus kepada syarikat pedagang serta menjana hasil sekitar RM1.3 juta setahun kepada kerajaan, melalui lesen berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) pula telah menambah baik proses pembaharuan pendaftaran penanaman karas dengan memperkemas prosedur serta mengurangkan keperluan permohonan berulang dan hasilnya ialah penjimatan kos pematuhan dianggarkan sebanyak RM184,800 setahun, melibatkan lebih 1,800 penanam karas berdaftar.

“Bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula, kementerian itu telah melaksanakan dua penambahbaikan yang memberi kesan langsung kepada produktiviti peniaga dan pengguna, iaitu lesen jualan langsung dipercepat dari 90 hari kepada 21 hari dengan penjimatan kos mencecah RM126,000 setahun.

“Manakala penguatkuasaan tanda harga diperkukuh yang menyaksikan impak jualan mingguan peniaga meningkat 40 peratus serta penambahan pelanggan,” katanya.

Shamsul Azri berkata Kementerian Digital (KD) pula berjaya melaksana tiga projek RKB yang memberi impak langsung kepada kecekapan pentadbiran dan pematuhan data, iaitu proses siasatan ketirisan data dipercepat daripada lima hari kepada tiga hari dengan penjimatan RM1.32 setahun.

“Langkah lain, termasuk pematuhan pengawal data meningkat 105 peratus dengan penjimatan kos operasi RM100,000 setahun dan kos pendaftaran pengawal data dikurangkan melalui digitalisasi dengan penjimatan sehingga RM195,000 setahun,” ujarnya.

Terdahulu KPKM, KPK, KPDN, NRES dan KD menerima sijil khas reformasi kerenah birokrasi yang disampaikan oleh KSN bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas