AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memeterai Nota Kerjasama dalam pelaksanaan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD).
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, ia juga kerjasama strategik dalam memerangi penyalahgunaan dadah, rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
“Kerjasama strategik tersebut adalah kali kedua diadakan dalam tempoh lima tahun ini.
“Ia bertujuan membanteras penyalahgunaan dadah dan jenayah rasuah, membudaya integriti dalam organisasi dan pelaksanaan mengikut undang-undang dan dasar kerajaan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Nota kerjasama itu ditandatangani antara beliau dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Ruslin memberitahu, menerusi kerjasama strategik itu, AADK akan mewujudkan tempat kerja bebas dadah, menyampaikan mesej pencegahan dan membanteras
penyalahgunaan dadah atau bahan di SPRM.
Selain itu katanya, AADK akan menyediakan khidmat latihan dan program pemulihan kepada pegawai SPRM yang terlibat dengan isu penagihan dan penyalahgunaan dadah atau bahan serta membantu dalam operasi ujian saringan air kencing.
“Sementara itu, SPRM pula akan bekerjasama membantu AADK dalam mewujudkan tatakelola yang baik, pencegahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam kalangan warga AADK,” jelasnya.
Selain itu, Unit Integriti AADK melakar sejarah apabila memperoleh pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (ISO QMS 9001:2015) daripada Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) tahun ini.
Pensijilan itu diperoleh menerusi dua skop fungsi teras AADK iaitu pengurusan aduan dan pengurusan siasatan integriti.
Justeru dengan kejayaan itu, Unit Integriti AADK menjadi pasukan integriti pertama di negara ini yang berjaya merangkul pensijilan tersebut tanpa mendapat Laporan Ketidakpatuhan (NCR) dan peluang penambahbaikan (OFI).
Ruslin berkata, ia sekali gus menjadikan Unit Integriti AADK akan menjadi ‘bench marking’ bagi Unit Integriti lain di negara ini.
“Umumnya, ISO berkenaan adalah bukti usaha AADK untuk meningkatkan pengurusan tatakelola mengikut standard antarabangsa,” katanya.
Terdahulu Azam menyerahkan pensijilan itu kepada Pengarah Unit Integriti AADK, Zulfikri Abd Manaf yang disaksikan oleh Ruslin. – WILAYAHKU