Berita

Skim Ponzi: Usahawan, peguam bergelar Datuk antara 8 ditahan, RM3.17 bilion aset dirampas

- Diterbit 11 April 2025 1:30 PM MYT

LAPAN individu warga tempatan termasuk usahawan dan peguam bergelar Datuk ditahan dalam Op Northern Star melalui tindakan rentas sempadan yang dilaksanakan hasil maklumat ‘Red Notice’ Interpol pada 20 Mac lalu.

Dalam beberapa siri serbuan dijalankan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urusetia Ketua Polis Negara (USKPN), Bukit Aman melaksanakan pembekuan dan penyitaan aset dianggarkan mencecah RM3.17 bilion.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, aset dan hasil perolehan haram itu dipercayai berkait rapat dengan skim pelaburan tipu jenis ‘Ponzi Scheme’ dikenali sebagai pelaburan MBI, yang berpusat di sebuah negara jiran.

“Setakat ini seramai lapan individu warga tempatan ditahan. Ia melibatkan tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 44 hingga 62 tahun.

“Antara yang ditahan termasuk dua usahawan dan dua peguam bergelar Datuk.

“Kesemua suspek telah direman antara satu hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001,” katanya.

Razarudin memberitahu, antara aset yang dirampas dan dibekukan termasuk 638 akaun bank dan akaun saham berjumlah RM1.16 bilion serta 35 unit hartanah dianggarkan lebih RM2 bilion.

Turut dirampas katanya, 10 kenderaan mewah, 12 utas jam tangan mewah, wang tunai dalam pelbagai mata wang asing dan Ringgit Malaysia, dua unit barang kemas selain komputer riba.

Katanya, polis akan meneruskan siasatan terhadap mana-mana individu atau entiti yang disyaki terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, mengubah, menukar atau menggunakan hasil perolehan haram daripada aktiviti penipuan pelaburan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas