SERAMAI 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 11 kanak-kanak dicekup dalam satu serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan di satu penempatan menerusi Operasi Penguatkuasaan, semalam.
Menurut Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai, operasi itu dijalankan berdasarkan aduan awam berkaitan penempatan berkenaan didiami warga asing.
Katanya, pasukan operasi telah bergerak ke penempatan warga asing tersebut dan memeriksa seramai 26 individu yang terdiri daripada warganegara asing dan warganegara tempatan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 19 orang warganegara asing yang terdiri daripada 6 perempuan, 2 lelaki, 5 kanak-kanak perempuan dan 6 kanak-kanak lelaki warganegara Filipina telah ditahan.
“Kesemua mereka ditahan kerana dsyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155),”katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Tambahnya, kesemua mereka yang ditahan ditemparkan lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan Depot Imigresen Labuan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sehubungan itu, Raymond menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan tegas atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Passport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,”tegasnya. -WILAYAHKU.