BORNEO Flora Festival (BFF) 2025 yang bakal berlangsung pada 26 hingga 30 Julai ini bakal mempamerkan lebih 200,000 jenis bunga dan tumbuhan Borneo.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, penganjuran BFF 2025 julung kali itu adalah amat bertepatan dengan aspirasi Kerajaan untuk terus memacu sektor pelancongan di Labuan.
Katanya, penganjuran festival berskala besar itu juga akan memainkan peranan untuk
memperkenalkan keindahan flora dan landskap tropika tempatan, serta dalam masa yang sama turut mempromosikan warisan
landskap etnik-etnik Borneo yang kaya dan berwarna-warni.
“Lebih 20 lokasi pameran taman
dengan reka bentuk yang pelbagai dan kreatif dengan lebih 200,00 bunga dan tumbuhan pelbagai warna serta fungsi akan dipamerkan.
“Pengunjung bukan sekadar dapat menikmati keindahan bunga-bungaan ini, tetapi juga sebagai simbolik kepada kekayaan
biodiversiti negara dan dalam masa yang sama sebagai potensi nilai tambah kepada industri hortikultur negara.
“penganjuran festival itu juga akan menyasarkan 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negara,”katanya pada Majlis Pra Pelancaran Borneo Flora Festival 2025, di Taman Rekreasi Kompleks Sukan Antarabangsa Labuan, pada Jumaat.
Zaliha berkata, beliau yakin dengan penumpuan kepada sektor pelancongan merupakan manifestasi kepada strategi untuk mencetuskan kesan gandaan ekonomi atau multiplier effect di Labuan.
“Seperti yang pernah saya sebut sebelum ini, kita perlu ada lagi satu sektor tambahan dan juga alternatif kepada sektor sedia ada seperti sektor perkhidmatan kewangan dan sektor oil dan gas yang menjadi penyumbang kepada pencapaian KDNK per kapita kedua tertinggi di Malaysia.
“Melalui penganjuran festival ini nanti, industri seperti hospitaliti, pengangkutan, makanan dan minuman serta industri kreatif dapat
digerakkan secara serentak. Apabila digerakkan dalam skala yang besar dan bersepadu, kecekapan kos turut dapat dicapai melalui prinsip economies of scale,”katanya.
Zaliha berkata, penganjuran itu juga akan memberikan manfaat serta menjadi pemacu kepada rantaian nilai ekonomi tempatan.
“Kita mahukan juga apa yang kita laksanakan ini, impak limpahan ekonomi atau spill over effect nya akan mengalir ke rakyat
setempat, sesuai dan selaras dengan prinsip Ekonomi MADANI untuk meningkatkan darjat hidup rakyat,”katanya. WILAYAHKU.